HALAMAN SANTAI

Khamis, 9 Mac 2017

Exco perumahan Johor ditahan SPRM

Bernama

Abd Latif telah mula bercuti pada 1 Mac lalu untuk suatu tempoh yang belum diputuskan, susulan penahanan anak lelaki dan pegawai khasnya oleh SPRM dalam operasi pada pagi 28 Februari lalu.

KEMASKINI -KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Abd Latif Bandi ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berhubung kes rasuah dan penyelewengan hartanah.

Abd Latif ditahan pada kira-kira pukul 11 pagi ini ketika hadir di pejabat SPRM Johor Bahru.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad mengesahkan penahanan tersebut, ketika mengadakan lawatan ke pejabat The Star di Petaling Jaya.

Abd Latif telah mula bercuti pada 1 Mac lalu untuk suatu tempoh yang belum diputuskan, susulan penahanan anak lelaki dan pegawai khasnya oleh SPRM dalam operasi pada pagi 28 Februari lalu.

Turut ditahan termasuk dua pemaju, masing-masing seorang peguam dan orang awam yang dipercayai terlibat dalam skandal sama di Johor.

Susulan cuti Abd Latif, Menteri Besar Johor Mohamed Khaled Nordin semalam mengumumkan penyusunan semula tiga portfolio exco kerajaan negeri Johor berkuatkuasa Ahad ini di mana jawatan Abd Latif akan dipangku oleh Md Jais Sarday.

Dalam operasi berkenaan, SPRM turut merampas 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,00 termasuk mata wang asing dan dokumen-dokumen yang dipercayai dapat membantu siasatan.

Sebanyak 45 akaun bank milik bersama kesemua suspek melibatkan sekurang-kurangnya RM15.5 juta juga dibekukan bagi membantu siasatan.

MB bersimpati dengan penahanan Exco

Dalam pada itu, Menteri Besar Johor Mohamed Khaled Nordin hari ini menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM.

Mohamed Khaled berkata beliau bersimpati dengan penahanan terbabit yang bertujuan membantu siasatan berhubung kes rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri ini.

“Kita bersimpati tetapi saya percaya kita serahkan kepada SPRM supaya kita dapat capai keadilan dalam soal ini (rasuah dan penyelewengan hartanah),” katanya yang ditemui pemberita selepas menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Terdahulu, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini menolak usul pembangkang supaya menubuhkan Jawatankuasa Pemantau Siasatan berhubung isu rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri ini.

Usul berkenaan dicadangkan Yeo Tung Siong (DAP-Pekan Nenas), namun, ditolak Speaker DUN Johor Mohamad Aziz.

Mohamad menegaskan rundingan usul berkenaan ditolak memandangkan isu rasuah dan penyelewengan hartanah itu sedang disiasat SPRM.

“Saya sudah meneliti mengikut peraturan ditetapkan, kita tidak mahu mengganggu gugat siasatan yang sedang dijalankan SPRM.

“Saya bukan menolak usul itu sesuka hati, saya tolak bersebab dan mengikut peraturan dewan. Kita biar SPRM siasat,” kata Mohamad semasa persidangan DUN.

Keadaan itu kemudian menyebabkan timbul kekecohan di dalam dewan antara anggota Dewan Undangan Negeri pembangkang dan kerajaan selama 15 minit sehingga Mohamad bertindak mengarahkan Yeo supaya keluar dewan mengikut Bilangan 50 (5) Peraturan-Peraturan dan Perintah-Pertintah Tetap DUN Johor.

Tiada ulasan: