HALAMAN SANTAI

Khamis, 16 Mac 2017

Ezam, Khairuddin rancang tubuh parti baru, sasar generasi Y

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Dua bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dikatakan sedang merancang menubuhkan sebuah parti politik baru dengan menyasarkan anak muda terutamanya Generasi Y.
 
Mereka ada Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas senator, Datuk Ezam Mohd Nor.
 
Khairuddin dipetik sebuah portal berkata golongan anak muda adalah bakal ahli politik masa depan yang perlu diasuh sedari awal untuk menolak sebarang amalan rasuah.
 
“Kami sebuah parti dengan objektif tunggal memerangi rasuah,” kata bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu.
 
Beliau menambah Generasi Y (lahir 1980an hingga awal 1990an) pada masa ini nampaknya dipinggirkan dan diabaikan, tetapi parti yang akan ditubuhkan ini akan menjadikan Gen Y tumpuan mereka.
 
Khairuddin berkata parti barunya itu tidak akan melawan parti pembangkang, sebaliknya mahu melengkapkan PH dan sekutunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang ditaja Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
“Apa sahaja kelemahan PH, kami akan ambil tanggungjawab menutup kekurangan itu. Untuk pilihan raya umum ke-14 nanti, kami hanya minta diberi 2 kerusi,” katanya.
 
Dua kerusi itu adalah kerusi Parlimen Pekan, iaitu kawasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan kerusi Titiwangsa, iaitu kawasan Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Ezam menyasarkan Najib sementara Khairuddin mahu mencabar Johari.
 
“Jika Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia meluluskan parti ini, kami akan buat permohonan rasmi kepada PH dan tanya bolehkah kami menjadi parti komponen.
 
“Kami juga memilih Pekan dan Titiwangsa kerana ahli Parlimen di situ mengetuai kementerian kewangan, yang menjadi lubuk kepada masalah kewangan negara.
 
“Kami mahu baiki masalah itu, kami mahu hentikan sebarang bentuk rasuah dalam kementerian itu,” katanya.
 
Khairuddin berkata beliau dan Ezam belum memaklumkan pimpinan PH dan Dr Mahathir tentang rancangan mereka, tetapi akan berbuat demikian dalam masa terdekat.
 
Ini kerana beliau rasa terhutang budi kepada mereka kerana membantu beliau dan aktivis lain menjayakan gerakan Deklarasi Rakyat.
 
“Kami tidak mahu pemimpin pembangkang yang lain salah faham objektif kami.
 
“Jadi kami akan bertemu mereka tidak lama lagi untuk menjelaskan perkara ini kepada mereka dan kami harap mereka akan bantu kita dalam pilihan raya umum akan datang,” ujarnya.
 
 

Tiada ulasan: