HALAMAN SANTAI

Jumaat, 10 Mac 2017

Fakir bukan Muslim di Perlis dibenar terima zakat

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Mesyuarat jawatankuasa fatwa Perlis memutuskan bahawa fakir miskin bukan Muslim di negeri itu kini dibenarkan menerima zakat.
 
Melalui kenyataan yang dikeluarkan pejabat mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, ia menyatakan bahawa zakat kepada golongan itu diberikan di bawah asnaf 'muallafah qulubuhum'. 
 
"Zakat kepada bukan Muslim di bawah Asnaf 'muallafah qulubuhum' (golongan yang ingin diharmonikan sikap dan persepsi mereka terhadap Islam) boleh diberikan ke atas kemaslahatan yang ditentukan oleh ulil amri.
 
"Ia seperti yang dilakukan oleh Rasullah SAW kepada golongan yang bukan Muslim dari kalangan musyrikin dan pembesar kaum mereka, seperti yang tercatat dalam riwayat-riwayat sirah yang sahih," kata kenyataan pejabat mufti itu.
 
Salinan kenyataan itu juga telah dimuat naik di laman Facebook rasmi Mohd Asri.
 
Zakat adalah jumlah harta tertentu yang wajib dikeluarkan oleh umat Islam untuk diberikan kepada golongan berhak menerimanya menurut ketentuan yang telah ditetapkan oleh syariah.
 
Lapan golongan orang Islam yang berhak menerima zakat adalah fakir, miskin, hamba sahaya, mualaf, fisabilillah (pejuang di jalan Allah), Gharim (orang yang memiliki banyak hutang), Ibnu Sabil (musyafir dan para pelajar perantauan) dan amil zakat (panitia penerima dan pengelola dana zakat)
 
 

Tiada ulasan: