HALAMAN SANTAI

Ahad, 5 Mac 2017

Fatimah patahkan serangan DAP terhadap JAIS

Sarawakiana ·


 


KUCHING – Kecaman bertubi-tubi yang dilancarkan pemimpin serta penyokong Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak terhadap Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) sejak dua hari lepas berjaya dipatahkan Menteri yang bertanggungjawab menerusi sidang media di sini pada Jumaat.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Fatimah Abdullah hari ini membidas pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen yang melemparkan pelbagai tuduhan terhadap JAIS dan kerajaan melibatkan pengambilan guru di Sarawak.

Menurut Fatimah yang juga menteri bertanggungjawab terhadap ehwal pendidikan negeri, kenyataan Chong yang menuduh JAIS bertindak menapis proses pengambilan guru di negeri ini sebagai berniat jahat untuk mengelirukan rakyat.

Terdahulu dalam kenyataannya, Chong yang merupakan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa mendakwa JAIS telah menyemak dan menapis permohonan guru bukan Islam di negeri ini.

Berikutan dakwaan itu, pelbagai pihak melemparkan kecaman serta tuduhan terhadap JAIS.

Fatimah merujuk kepada kes itu menjelaskan, pemohon dikenal pasti sebagai Wong Wang Yuen telah memohon sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (DG41), yang mana jawatan tersebut diiklankan oleh JAIS menerusi sistem e-recruitment kerajaan negeri.

“Jawatan itu diiklankan bagi mencari calon sesuai untuk menyelia Kelas Bahasa Arab, kelas KAFA dan Kurikulum khusus di sekolah-sekolah yang diselia oleh JAIS termasuk Sekolah Agama Rakyat dan Pesantren.

“Semua permohonan untuk jawatan tersebut akan disemak oleh JAIS sebagai jabatan yang berkenaan.
“Inilah penjelasan mengapa permohonannya (Wong Wang Yuen) ditolak oleh JAIS, kerana tidak sesuai untuk jawatan tersebut,” katanya

Beliau menambah, Chong perlu membezakan proses pengambilan yang melibatkan guru dan jawatan yang terdapat dalam perkhidmatan awam negeri.

“Ini soal ketidaksesuaian, tiada kaitan dengan isu kaum,” tegasnya

Beliau berkata ia adalah “sangat telus” dan tiada “apa yang hendak disembunyikan di sini”, tetapi kesal kerana ada pihak yang salah faham dan mengambil kesempatan daripadanya yang merupakan satu tindakan boleh mewujudkan ketegangan kaum.

“Apabila ada yang tidak memahami sistem dan penuh prasangka terhadap kerajaan negeri, maka, mereka akan membuat tuduhan serta andaian mengelirukan,” katanya.

Tiada ulasan: