HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 Mac 2017

Fikir dulu sebelum kongsi gambar anak di laman sosial

 
Ibu bapa memuat naik gambar anak sebagai tanda kegembiraan tapi gambar itu mungkin akan disalurkan ke halaman kumpulan seks pedofil.


Rohani

KUALA LUMPUR: Keterujaan ibu bapa memuat naik gambar anak mereka di media sosial boleh mengundang padah selain mendedahkan mereka kepada risiko bahaya dan jenayah seksual.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, menasihati ibu bapa berhati-hati apabila berkongsi gambar anak kecil mereka di media sosial.

“Ini kerana ada kecenderungan pihak tidak bertanggungjawab untuk menyalahgunakan gambar tersebut.
“Gambar kanak-kanak di media sosial yang dikongsikan oleh ibu bapa mereka berpotensi menarik perhatian pemangsa seksual.

“Berdasarkan maklumat yang kita perolehi, gambar ini akan disalurkan pihak yang tidak bertanggungjawab ke dalam laman web kumpulan pedofil,” katanya merujuk kepada kumpulan pedofil tempatan yang terdedah di aplikasi mesej Telegram beberapa bulan lalu.

Kumpulan pedofil

“Ibu bapa mungkin memuat naikkan gambar anak mereka sebagai tanda kegembiraan tetapi gambar itu berkemungkinan dimuatkan dalam halaman kumpulan seks pedofil.

“Sebaik sahaja gambar kanak-kanak ini tersebar di media sosial dengan pesalah seks, ia akan menjadi sukar untuk mencari asal-usulnya,” kata Rohani.

Noor Afidah Abu Bakar dari Parent Connect Consultancy juga mengulas mengenai pedofilia dan keselamatan anak-anak dalam blognya.

Beliau menyentuh ciri-ciri pedofilia iaitu seorang dewasa atau remaja yang mempunyai kecenderungan dan keinginan seksual terhadap kanak-kanak.

Afidah menarik perhatian pembaca blognya dengan pembunuhan kejam adik Nurin Jazlin pada 2007 lalu.
“Selepas 10 tahun berlalu, pedofil tersebut masih bebas dan ia membuktikan sekurang-kurangnya seorang pedofil tegar masih bebas di luar sana.

“Dia mungkin adalah “friend” Facebook kita, mungkin juga “jaga” di apartment kita, mungkin juga peniaga kantin sekolah anak kita dan sudah pastinya saudara-mara salah seorang daripada kita.

“Pelbagai kemungkinan,” catat Noor Afidah di dalam tulisannya bertajuk ‘Pedofila: Perlukah Kita Kisah?’

Banyak lagi tulisan serta teguran yang dihasilkan pelbagai pihak bagi memberi kesedaran kepada ibu bapa, penjaga mahu pun guru tadika atau sesiapa saja yang terlibat sebagai penjaga kanak-kanak.

Pengajaran kes terdahulu

Dua kes hangat yang menggemparkan masyarakat di negara ini mengenai pedofilia tentunya kes Richard Huckle (2016) dan pelajar Malaysia yang menuntut jurusan Matematik di Imperial College London (2015).

Huckle, warganegara Britain dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah di London selepas didapati bersalah terhadap 71 pertuduhan

berkaitan penderaan seksual terhadap kanak-kanak termasuk di Malaysia.

Dikatakan kumpulan penyiasat menemukan lebih 20,000 gambar lucah dan video kanak-kanak yang menjadi mangsa serangan seksual Huckle.

Lebih keji apabila koleksinya itu kemudiannya dikongsi ke seluruh dunia menerusi satu laman sesawang khusus untuk mereka yang sakit jiwa dan minda sepertinya.

Manakala penuntut Malaysia pula dihukum penjara 5 tahun oleh Southwark Crown Court.

Pelajar itu berusia 23 tahun ketika ditangkap, mengaku bersalah atas 17 pertuduhan memiliki, menghasilkan dan mengedar 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak bawah umur.

Sebanyak 601 imej dan video kategori A, iaitu kategori ini membabitkan foto dan video memaparkan aktiviti persetubuhan dengan kanak-kanak.

Jenayah seksual kanak-kanak

Pada 13-14 Mac lalu, Permata Negara menganjurkan Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak: Hentikan!

Seminar 2 hari yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu menerima kehadiran kira-kira 2,000 peserta termasuk panel yang membentang dan membincangkan topik yang amat serius ini.

Mendengar perkongsian dan pembongkaran kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak, perasaannya sangat menghiris jiwa.

Ada ketikanya tidak sanggup untuk terus mendengar apa yang dilalui oleh mangsa yang naif itu.

Dalam kebanyakan kes yang dikendalikan pihak terbabit, kanak-kanak lebih mengalami trauma kerana perlu melalui banyak soal siasat daripada pihak

polis serta pemeriksaan doktor semata-mata untuk mendapatkan bukti mereka menjadi mangsa.

Jenayah di Malaysia bagaikan bermusim. Ketika isu ini hangat, kita semua akan beringat, kemudian apabila ia surut, kita juga senyap tidak membuka mulut.

Kita sudah ada Akta Kanak-kanak 2001 yang turut menyentuh mengenai kesalahan pornogafi dan persediaan kanak-kanak.

Tetapi Rang Undang-undang Kesalahan-kesalahan Jenayah Seksual Kanak-kanak 2017 akan diperincikan lagi skop hukuman pelaku agar setimpal dengan kesalahan yang dilakukan terhadap kanak-kanak.

Ibu bapa kena kawal penggunaan media sosial di kalangan anak yang sudah pandai mengenal telefon bimbit, internet dan pelbagai aplikasi sosial seperti Whatsapp, Facebook dan WeChat.

Modus operandi pemangsa biasanya melalui aplikasi ini.

Kawal juga diri anda daripada memuat naik gambar anak yang dirasakan mampu menarik minat kumpulan yang berfikiran songsang itu.

Pilihan sebenarnya di tangan anda. Anda mahu orang memuji kecantikan, kecomelan dan kecerdikan anak atau anda tidak dapat tidur malam apabila mendapat tahu gambar si anak menjadi bahan hiburan dan angan-angan si pedofilia yang berada entah di mana.

Siapa tahu, mereka adalah di kalangan individu yang berhampiran atau yang kita kenali. Ini kerana ada laporan menyebut kira-kira 89% kes membabitkan pelaku yang dikenali mangsa.

Tiada ulasan: