HALAMAN SANTAI

Rabu, 8 Mac 2017

Gerakan perlu ‘ruang’ fahami RUU 355

THE MALAYSIAN TIMES

Gerakan-RUU355


ALOR SETAR: Parti Gerakan perlukan masa dan ruang untuk lebih memahami usul pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) sebelum memuktamadkan pendiriannya.

Sambil menegaskan “parti akan sentiasa menyokong apa juga perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan”, Timbalan Presidennya Datuk Dr Cheah Soon Hai berkata Gerakan berharap mendapat perincian itu semasa mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) bulan ini.

“Pada hujung bulan ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual mengadakan mesyuarat BN dan kita yakin agenda mengenai Akta 355 turut akan dibincangkan,” katanya selepas merasmikan penutupan program Hari Wanita Sedunia peringkat negeri Kedah, di sini hari ini.

Usul pindaan Akta 355 itu dibuat oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada 24 Nov lepas bertujuan memperkasakan mahkamah syariah dalam melaksanakan hukuman jenayah.

Rang undang-undang (RUU) itu yang dibawa beliau sebagai RUU Persendirian dan kemudian digelar RUU 355 mencetuskan polemik dalam kalangan parti komponen BN selepas UMNO membayangkan sokongan terhadap pindaan tersebut.–Bernama


Tiada ulasan: