HALAMAN SANTAI

Selasa, 14 Mac 2017

GST, hapus subsidi: Langkah tidak popular tetapi buahkan hasil- PM

Norlaile Abd Rahman
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Majlis Perasmian IOSCO Pacific Hub In Kuala Lumpur di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 
 
Kuala Lumpur- Langkah produktif dan progresif yang diperkenalkan kerajaan di dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) termasuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta rasionalisasi subsidi telah membuahkan hasil.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini dibuktikan dengan pertumbuhan positif yang dicatatkan Malaysia sebanyak 4.2 peratus tahun lepas di sebalik cabaran ekonomi global serta kejatuhan harga minyak mentah.

“Kami merasionalisasi dan menghapuskan subsidi. Kami mengurangkan pergantungan kerajaan kepada pendapatan minyak dan gas daripada 41 peratus pada 2009 sehingga 14 peratus sahaja hari ini dan kami memperkenalkan GST untuk meluaskan asas cukai.

“Langkah-langkah ini bukan popular tetapi ianya sesuatu yang betul untuk diambil dan kami melihat negara-negara lain termasuk India dan Arab Saudi mula mengikut jejak langkah ini.

“Ramai yang menasihatkan saya untuk tidak melaksanakan langkah-langkah tersebut.

“Memang kami mahu menang pilihanraya tetapi kami perlu melakukan apa yang perlu dengan membuat keputusan yang tepat walaupun tidak popular,” katanya semasa menyampaikan ucapan pelancaran Hab Asia Pasifik Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO) di sini hari ini

Menurut Najib, India merancang untuk melaksanakan GST pada kadar tertinggi sehingga 23 peratus bulan depan manakala Arab Saudi akan melaksanakannya pada 2018.

Tambah beliau, sejak ETP dilancarkan pada 2010, kadar kemiskinan tegar telah berjaya dihapuskan manakala 1.8 juta pekerjaan telah disediakan dan Pendapatan Negara Kasar meningkat hampir 50 peratus.

“Kami juga telah merancang untuk memperbaiki unjuran ekonomi dengan lebih baik menerusi aktiviti perdagangan yang lebih kukuh yang mana prestasi eksport serta permintaan domestik akan menjadi faktor utama,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: