HALAMAN SANTAI

Isnin, 13 Mac 2017

ILI tidak beri kesan negatif kepada sektor pelancongan di Perak

Setakat hari ini, sebanyak 465 pelajar di Perak dikesan menghidap penyakit itu berbanding 438 orang semalam

IPOH: Penyakit seperti influenza (ILI) yang melanda Perak ketika ini tidak memberi kesan negatif kepada sektor pelancongan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata gejala sedemikian berlaku bukan sahaja di negara ini malah di seluruh dunia.

“ILI bukan sahaja berlaku di Perak malah (berlaku) di negeri serta negara lain, perkara ini sukar dibendung kerana ia mudah berjangkit. Bagaimanapun ia berbalik kepada cara kita menjaga kebersihan diri.

“Setakat ini, ILI hanya berlaku di kawasan tempatan seperti di sekolah dan di tempat awam jarang sekali (berlaku),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat baharu Agensi Pelancongan Deluxe di sini, hari ini.

Setakat hari ini, sebanyak 465 pelajar di Perak dikesan menghidap penyakit itu berbanding 438 orang semalam.

Dalam pada itu, Nolee Ashilin memuji perkembangan positif agensi pelancongan terbabit kerana bukan sahaja mampu bertahan selama 33 tahun malah turut menjalin usaha sama dengan pemain-pemain industri di luar negara.

“Pada hari ini terdapat 20 ejen (pelancongan) dari luar negara termasuk Korea Selatan, Jepun dan Thailand datang ke sini, selain untuk meraikan pejabat baharu Deluxe Tours, mereka juga datang untuk menjalinkan usaha sama dengan agensi itu.

“Ini bertepatan dengan saranan kerajaan negeri yang mahu lebih ramai pemain industri membantu mempergiatkan lagi usaha untuk membawa lebih ramai pelancong luar ke Perak,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri serta pemain industri pelancongan terutama dari sektor swasta perlu bekerja keras bagi mengekalkan Perak sebagai negeri tertinggi menerima kehadiran pelancong domestik.

Tiada ulasan: