HALAMAN SANTAI

Isnin, 13 Mac 2017

Jangan panik, tiada trend luar biasa ILI dikesan – KP Kesihatan

THE MALAYSIAN TIMES

Datuk-Dr.-Noor-Hisham-Abdullah-1


PUTRAJAYA: Orang ramai tidak perlu panik berikutan kejadian kluster Influenza Like-Illness (ILI) yang dilaporkan di Perak berikutan tiada trend luar biasa ILI dikesan di seluruh negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya ILI merupakan jangkitan dengan gejala utama seperti demam selesema atau flu, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

“Oleh kerana demam selesema atau flu sangat mudah berjangkit, penularan menjadi lebih mudah berlaku di tempat-tempat yang padat seperti sekolah, asrama, tempat kerja tertutup, institusi latihan serta kem-kem tentera dan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mereka yang dijangkiti di asrama sekolah diasingkan daripada yang sihat supaya tidak menular manakala mereka yang tidak sihat juga tidak digalakkan datang bekerja atau bersekolah, katanya.

Dr Noor Hisham berkata kebanyakan kluster ILI yang dilaporkan sebelum ini adalah disebabkan virus influenza bermusim antaranya Influenza A (H1N1), Influenza A (H3N2) dan Influenza B.

Wabak disebabkan virus influenza bermusim hanya menyebabkan demam selesema ringan pada orang biasa tetapi boleh menyebabkan jangkitan teruk seperti pneumonia kepada kumpulan berisiko seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan pesakit kronik seperti kencing manis, katanya.

Mengenai kejadian kluster ILI di lima sekolah di Perak, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perak sedang memantau rapi kejadian.

Kejadian kluster ILI itu dikesan di Sekolah Kebangsaan Klebang Jaya, Sekolah Menengah Tuanku Abdul Rahman dan Sekolah Menengah Raja Perempuan Taayah di Ipoh, Kolej Vokasional Slim River dan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib di Teluk Intan.

“Semua kes mengalami gejala ringan dan telah diberikan rawatan. Ujian makmal turut dilakukan bagi menentukan penyebab kluster berkenaan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kementerian itu sedang melaksanakan tindakan pencegahan dan pengawalan bagi memastikan jangkitan tidak merebak termasuk mengasingkan kes-kes yang bergejala daripada pelajar-pelajar lain yang sihat.

Beliau turut menasihati mereka yang bergejala memakai penutup mulut dan hidup sekiranya perlu keluar rumah.

“Golongan berisiko juga digalakkan supaya mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim dari mana-mana fasiliti kesihatan swasta,” katanya.–Bernama

Tiada ulasan: