HALAMAN SANTAI

Khamis, 2 Mac 2017

Kedah bakal bantah gol Selangor?


Kontroversi melibatkan jaringan pasukan Selangor ketika berdepan Kedah pada perlawanan Liga Super ketujuh, malam tadi diambil berat oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar berkata, pengurusan skuad Helang Merah sedang membuat analisa insiden yang membolehkan Selangor meraih gol penyamaan di hujung masa perlawanan.

Kejadian itu berlaku ketika pemain Selangor mengambil sepakan penalti dan pada masa sama kawasan kotak penalti turut diceroboh rakan sepasukan sebelum sepakan itu dilakukan.

Bagaimanapun pengadil perlawanan membuat keputusan 'menghalalkan' jaringan tersebut sekali gus membolehkan pasukan tuan rumah mengikat kedudukan.

Sepakan yang diambil oleh Victor Astafei pada awalnya berjaya diselamatkan Ifwat Ikmal Chek Kassim, namun Juliano Mineiro pantas menyambar bola muntah untuk membolosi gawang Kedah.

Difahamkan, wujudnya insiden pelanggaran undang-Undang 14 Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) berkaitan sepakan penalti ketika jaringan itu dilakukan.

"Kita sedang berbincang dengan pihak pengurusan KFA, kita sedang buat analisa tentang kedudukan pemain lawan ketika penalti tersebut.

"Dan kita akan tengok kalau memang betul (kesilapan) seperti yang diviralkan hari ini, kita akan buat surat bantahan kepada FAM," katanya kepada Malaysiakini.

Aminuddin berkata, analisa tersebut dijangka siap selewat-lewatnya esok sebelum membuat keputusan untuk mengemukakan bantahan atau sebaliknya.

Sementara itu, keputusan seri di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu sekali gus menghalang skuad bimbingan Tan Cheng Hoe kekal mendahului carta liga.

Dengan rekod tanpa kalah, Kedah kini menghuni tangga kedua dengan kutipan 15 mata berbanding Pahang di kedudukan teratas dengan kelebihan satu mata.


Tiada ulasan: