HALAMAN SANTAI

Khamis, 16 Mac 2017

Keluarga benarkan Malaysia urus mayat Jong-nam

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim mengesahkan kerajaan Malaysia mendapat kebenaran waris Kim Jong-nam untuk mengurus mayat abang pemimpin tertinggi Korea Utara itu.

Noor Rashid berkata, kebenaran itu diberikan ketika pihaknya bertemu waris mangsa.

Bagaimanapun, Noor Rashid enggan mendedahkan bila dan di mana pertemuan tersebut berlangsung.

“Mereka telah benarkan kerajaan Malaysia untuk uruskan mayat dan keputusan lanjut (bagaimana mayat itu akan diuruskan) bergantung kepada kerajaan,” katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini.

Terdahulu Noor Rashid merasmikan Seminar Belia dan TN50: Perspektif Keselamatan Negara di Shah Alam.

Jong-Nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara Jong-Un meninggal dunia selepas mukanya disapu dengan ejen saraf VX semasa menunggu untuk menaiki penerbangan ke Macau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2) pada 13 Februari lalu.

Kejadian itu kemudian mencetuskan perbalahan diplomatik antara Pyongyang dengan Putrajaya.
Korea Utara tidak puas hati dengan siasatan pihak berkuasa negara ini.

Sementara itu, mengulas kedudukan rakyat Malaysia di Korea Utara, Noor Rashid berkata pihaknya sentiasa memberi keutamaan untuk membawa pulang sembilan rakyat Malaysia dan memastikan keselamatan.

Selain itu, Noor Rashid juga turut mengesahkan bahawa pihaknya kini akan menyemak status permohonan kerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) berkaitan kedudukan empat lagi suspek yang meninggalkan negara ini.

"Ya, kita pun telah buat (permohonan kerjasama).

“Kita hantar dan saya kena semak dulu apa kedudukan terkini dia. Tapi tindakan itu semua kita telah ambil di peringkat awal lagi,” tambah Noor Rashid.


Tiada ulasan: