HALAMAN SANTAI

Isnin, 6 Mac 2017

[KEMASKINI] Mat Nadzari fail saman pemula terhadap DUN Selangor

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan hari ini mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri Selangor.
 
Ia susulan daripada keputusan kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor untuk mengambil tindakan selepas Nadzari mendakwa pentadbiran Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak mengiktiraf sistem raja berperlembagaan.
 
Nadzari berkata tindakan saman pemula itu bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa ucapannya dalam perbahasan Bajet Selangor 2017 mendapat perlindungan peruntukan undang-undang.
 
"Hari ini seperti yang kita janjikan tempoh hari ekoran daripada pendakwaan terhadap diri saya yang dibawa kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor baru-baru ini. Jadi hari ini kita memfailkan saman pemula untuk melihat apakah intrepretasi sebenar yang boleh kita pakai terhadap dakwaan yang dijatuhkan ke saya.
 
Saman itu difailkan melalui Tetuan Kamarudin & Partners di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor; Speaker DUN Selangor dan DUN Selangor. 
 
Antara lain, Mat Nadzari memohon pengisytiharan mahkamah bahawa ucapannya pada 1 November 2016 itu mendapat perlindungan di bawah Jadual menurut Artikel 77 Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dan Jadual serta Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan. 
 
Beliau juga memohon pengisytiharan bahawa ucapan itu tidak melanggar atau bertentangan dengan Peraturan-Peraturan Tetap (Standing Order) 36(6) Dewan Negeri Selangor, berdasarkan terjemahan sebenar peruntukan itu serta Peraturan-Peraturan Tetap 36(10) atau sub peraturan dalamnya. 
 
Terdahulu pada sidang DUN November lalu, Mat Nadzari mendakwa bahawa terdapat isi ataupun niat dalam pentadbiran Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk tidak mengiktiraf sistem raja berperlembagaan.
 
Susulan tindakan itu, beliau menerima notis bertarikh 18 Januari 2017 untuk memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor berhubung ucapannya itu.
 
Seperti yang diberitahu Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor Hannah Yeoh, keputusan untuk mengambil tindakan terhadap Mat Nadzari hanya akan diketahui pada sidang DUN bermula Mac ini.

Tiada ulasan: