HALAMAN SANTAI

Selasa, 14 Mac 2017

Kematian banduan: Pegawai penjara dakwa Shashikumar bimbang nyawa terancam

 
Seorang pegawai penjara memberitahu inkues kematian Shashikumar Selvam yang banduan itu pernah mendakwa ada pegawai penjara terbabit dalam kegiatan dadah dalam Penjara Kluang. 


waytha-3


PETALING JAYA: Seorang pegawai Penjara Kluang mendakwa Shashikumar Selvam memaklumkan dia bimbang nyawanya terancam, 2 hari sebelum banduan itu didakwa mati akibat membunuh diri pada Mei 2015.

Inspektor Junizen Jaffri ialah saksi ke-5 dalam prosiding inkues kematian Shashikumar yang memasuki hari ke-4 semalam.

Junizen yang berkhidmat di unit risikan dan siasatan Penjara Kluang berkata, beliau mengambil keterangan Shashikumar yang diletakkan dalam unit pengasingan pada 20 Mei 2015, hampir sejam.

Shashikumar ditemui mati dalam unit pengasingan itu 2 hari kemudian. Dia didakwa menggunakan seluarnya untuk menggantung diri. Unit pengasingan itu sepatutunya dikawal sepanjang masa berdasarkan syarat penjara.

Transkrip wawancara antara Junizen dan Shashikumar sebagai sebahagian daripada siasatan itu turut dikemukakan di mahkamah sebagai bukti.

Ketika disoal peguam P Waythamoorthy dan Karthik Shanmugam yang mewakili keluarga Shashikumar dalam inkues itu, Junizen berkata, beliau diarah menyiasat banduan terbabit oleh pegawai atasannya, Huzami Hanafi yang merupakan timbalan pengarah Penjara Kluang.

Media sebelum ini melaporkan Shashikumar ditemui memiliki 4.12g heroin yang disembunyikan dalam duburnya kira-kira jam 9.30 malam, 20 Mei 2015.

“Shashikumar mengakui dia mendapat heroin itu daripada banduan bernama Singh. Dia juga kata ada ramai banduan lain terbabit dalam dadah, mungkin beratus orang,” kata Junizen berdasarkan keterangan Shashikumar.

Junizen berkata, beliau tidak menahan atau mengasingkan banduan bernama Singh berdasarkan dakwaan Shashikumar, sebaliknya hanya meletakkan dia di bawah pemerhatian.

“Shashikumar meminta pihak berkuasa penjara menjamin keselamatannya sebagai pertukaran untuk pengakuan penuh mengenai isu dadah dalam penjara,” kata Junizen.

Merujuk perkara 11 dan 12 dalam transkrip itu, Junizen mengesahkan Shashikumar menyatakan ada pegawai penjara yang terbabit dalam kegiatan dadah di penjara, namun beliau tidak bertanya mengenai identiti pegawai terlibat.

Sashikumar berkata, dia tidak terbabit dalam pengedaran dadah di penjara.

Berdasarkan perkara 12, Shashikumar memberitahu Junizen: “Apa saya tahu ialah Singh merupakan pihak yang dipercayai Raja untuk mengendalikan semua urus niaga (dadah) di dalam penjara, dan hanya mereka berdua tahu kakitangan penjara yang terlibat.”

Sementara itu, Junizen berkata, ada kemungkinan Shashikumar diugut pegawai penjara yang terbabit dalam kegiatan dadah dalam penjara.

Pada 27 Mei 2015, Hindraf yang diketuai Waytha tampil membantu nenek Shashikumar, Sushilarani yang yakin cucunya berusia 20 tahun itu tidak akan membunuh diri seperti didakwa pegawai Penjara Kluang.

Inkues ini diadakan hasil desakan Hindraf supaya pihak berkuasa menyiasat kematian Shashikumar dan kemungkinan pegawai penjara serta banduan terbabit dalam penjualan dadah di Penjara Kluang.

Shashikumar sudah menjalani hukuman penjara 10 tahun kerana mencuri beras dan 2 tin sardin.

Waytha pernah berkata, hakim dalam kes itu “tidak sensitif” terhadap nasib masyarakat miskin dan golongan bawahan.

Tiada ulasan: