HALAMAN SANTAI

Selasa, 21 Mac 2017

Kemelut Felda: Resolusi Pakatan Harapan adalah penyelesaian, kata Adun PKR

Berita Daily Staff

 Jika tidak kerana ketirisan yang berlaku, mungkin kini rumah Program Perumahan Generasi Kedua Felda (PGKF) dapat dinikmati oleh warga Felda khususnya di Negeri Sembilan ini dan bukan hanya memacak papan tanda apabila menjelang pilihanraya, kata Aminuddin Harun

KUALA LUMPUR: Seorang Adun pembangkang berpendapat resolusi Pakatan Harapan di Konvensyen Warga Felda 2017, baru-baru ini, merupakan jawapan terbaik untuk menyelesaikan kemelut yang melanda Felda.

Menurutnya lagi, jika tidak kerana ketirisan yang berlaku, mungkin kini rumah Program Perumahan Generasi Kedua Felda (PGKF) dapat dinikmati oleh warga Felda khususnya di Negeri Sembilan ini dan bukan hanya memacak papan tanda apabila menjelang pilihanraya.

Dalam satu kenyataan, Aminuddin Harun, Adun Sikamat (PKR) berkata bahawa kerugian tidak nyata Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan anak syarikatnya adalah sebanyak RM1.21 bilion hasil pegangan sahamnya dalam Felda Global Ventures Bhd (FGV).

“Felda sebagai pemegang saham terbesar dalam FGV (33.8 peratus) mesti menunjukkan kepentingan untuk melihat FGV makin maju dan bukannya mundur meskipun ia masih badan yang berbeza.”

“Masihkah Felda masih ingat pada tahun 2012 apabila FGV disenaraikan di bursa tempatan dengan tawaran awal awam (IPO) pada harga RM4.55 sesaham yang mendapat liputan meluas setelah dikatakan sebagai penyenaraian kedua terbesar dunia selepas Facebook. Kini apa yang berlaku kepada FGV? Apakah langkah terbaik yang boleh Felda lakukan untuk menyusun atau menguruskan kerugian demi kerugian?”.

Tambahnya, pada Konvensyen Warga Felda 2017 baru-baru ini, Pakatan Harapan ada menawarkan resolusi bagi menyelesaikan kemelut ini dengan mengkaji manfaat dan risiko dengan mengembalikan kawalan majoriti Felda Holdings Berhad daripada FGV kepada Koperasi Permodalan Felda.

“Di samping itu, Pakatan Harapan turut akan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi membuat siasatan menyeluruh mengenai kerugian dan penyelewengan berbilion ringgit yang berlaku sepanjang pengurusan Felda sekarang. ”

“Bagi menyelesaikan kemelut yang melanda Felda, resolusi Pakatan Harapan memberikan jawapan yang terbaik untuk warga Felda,” tegas beliau.

Tiada ulasan: