HALAMAN SANTAI

Khamis, 2 Mac 2017

'Kenapa ketua audit tiada latar belakang audit?'


Pelantikan Tan Sri Madinah Mohamad sebagai ketua audit negara terus dipertikai walau beliau belum pun memasuki pejabat.

Selepas isu berkaitan suaminya, bekas ketua setiausaha kementerian pendidikan itu berdepan pertikaian berhubung kelayakannya.

Satu kumpulan, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), membangkitkan kebimbangan itu dengan berhujah seorang ketua audit negara harus mempunyai kebolehan dan pengetahuan khusus dalam bidang audit, perakaunan dan pengurusan kewangan.

“Apa proses dan pertimbangan perdana menteri yang mencadangkan beliau ke jawatan itu?” soal pengarah eksekutif C4 Cynthia Gabriel.

Madinah, 60, berkelulusan sarjana muda dalam bidang sains politik serta ijazah sarjana dan kedoktorannya pula diperoleh dalam bidang sumber manusia.

Cynthia menegaskan kedudukan Madinah penting memastikan mekanisme semak dan imbang serta ketelusan dalam pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Madinah akan memulakan tugasnya esok, menggantikan Tan Sri Ambrin Buang yang tamat tempoh perkhidmatan.

Ambrin, yang hari terakhirnya hari ini, terlibat dalam audit berkaitan kontroversi 1MDB.

Bagaimanapun, kerajaan enggan mendedahkan laporan itu dan mengelaskannya bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.


Tiada ulasan: