HALAMAN SANTAI

Jumaat, 10 Mac 2017

Khaled beri jaminan tak campur siasatan SPRM, akan beri kerjasama

Berita Daily Staff

Kerajaan negeri itu berpendapat proses penguatkuasaan undang-undang harus berjalan dengan bebas dan lancar.

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Johor Khaled Nordin hari ini memberikan jaminan kerajaan negeri itu tidak akan campur tangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas exco kerajaan negeri Abd Latif Bandi yang ditahan untuk membantu siasatan berhubung penukaran hak milik hartanah Bumiputera.

Khaled berkata, kerajaan negeri itu berpendapat proses penguatkuasaan undang-undang harus berjalan dengan bebas dan lancar.

“Kerajaan negeri berpendirian adalah penting dan kritikal untuk pihak berkuasa dan proses penguatkuasaan undang-undang dipastikan berjalan dengan lancar dan bebas.

“Adalah menjadi ikrar dan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan dan pentadbiran Johor bebas daripada sebarang masalah penyelewengan dan korupsi,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

Khaled turut menyeru agar seluruh anggota kerajaan, kakitangan serta masyarakat awam untuk bersama-sama memberikan kerjasama dan tidak melihat isu ini secara terburu-buru dan beremosi.

“Sebaliknya, marilah kita memfokuskan kepada tugas dan memberikan yang terbaik dalam memastikan pengurusan kerajaan negeri tidak terganggu,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau berharap keadilan dan kebenaran akan dicapai oleh semua pihak.
Pagi tadi, Abd Latif, 51, ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan susulan penahanannya di Johor Bharu semalam.

SPRM turut menyerbu rumah Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Endau itu, dan merampas RM42,000 dalam bentuk wang tunai, sebuah Toyota Vellfire dan 150 beg tangan.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM dan Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Sebelum ini, SPRM menahan enam individu atas dakwaan rasuah melibatkan penukaran hak milik tanah Bumiputera.

Antaranya, SPRM menahan anak Abd Latif dan pegawai khas exco itu.

SPRM turut merampas 26 kenderaan mewah dan membekukan 45 akaun bank yang berkaitan dengan kes itu.

Abdul Latif sejak Rabu lalu mengambil cuti sementara siasatan dijalankan.

Tiada ulasan: