HALAMAN SANTAI

Sabtu, 11 Mac 2017

KKM belum putuskan pengurusan mayat Jong-nam

Bernama

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Hilmi Yahaya berkata setakat ini
tiada peraturan yang mengehadkan tempoh masa untuk mayat disimpan di hospital.

BALIK PULAU: Kementerian Kesihatan belum memutuskan sebarang tindakan bagi pengurusan mayat Kim Jong-nam, warga Korea Utara yang dibunuh di negara ini pada 13 Feb lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Hilmi Yahaya berkata setakat ini tiada peraturan yang mengehadkan tempoh masa untuk mayat disimpan di hospital.

“Tiada sebarang had masa atau tempoh tertentu bagi tuntutan  mayat…memandangkan kes ini berprofil tinggi, kita tidak boleh terburu-buru membuat keputusan.

“Kementerian akan putuskan perkara ini. Di Malaysia, tidak ada peraturan  perlu tempoh berapa hari, berapa bulan untuk lepaskan mayat…tiada had masa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Jamboree Balik Pulau 2017 di Politeknik Balik Pulau di sini hari ini.

Dr Hilmi berkata kerajaan mempunyai masa untuk memutuskan sebarang langkah bagi pengurusan mayat Jong-nam yang merupakan abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Berhubung sama ada tuntutan mayat perlu diserahkan kepada keluarganya, Dr Hilmi berkata kebiasaannya jika terdapat sebarang kematian, mengikut undang-undang negara ini mayat harus diserahkan kepada waris si mati.

Sekiranya si mati tidak dituntut langsung oleh waris atau keluarganya, mayat itu boleh ditanam di Malaysia.
Semalam Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar memaklumkan mayat Jong-nam diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk urusan seterusnya kerana tidak ada waris yang menuntutnya setakat ini.

Jong-nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ketika menunggu penerbangan ke Macau.

Beliau dihampiri dua wanita yang menekup mukanya dengan bahan yang kemudiannya dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

Jong-nam yang memasuki negara ini dengan menggunakan pasport atas nama‘Kim Chol’, meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Putrajaya.-Bernama

Tiada ulasan: