HALAMAN SANTAI

Isnin, 6 Mac 2017

Korea Utara isytihar duta Malaysia persona non grata

 
11 orang rakyat Malaysia berada di Korea Utara ketika ini, termasuk 9 kakitangan kedutaan dan ahli keluarga mereka


Mohamad-Nizan-Mohamad


PETALING JAYA: Dua hari selepas Malaysia mengisytiharkan diplomat Korea Utara Kang Chol persona non grata, rejim melakukan perkara serupa terhadap duta negara ke Pyongyang.

Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan 2 Hala) Raja Nushirwan Zainal Abidin dalam kenyataan hari ini Duta Mohamad Nizan Mohamad diisytiharkan persona non grata oleh kerajan Korea Utara.

“Tindakan balas ini normal dalam diplomasi. Ingin dimaklumkan kerajaan sudah memanggil pulang duta Malaysia,” kata Raja Nushirwan.

Beliau menambah Nizan kini berada di Malaysia.

Nizan dipanggil pulang “untuk perundingan” pada 20 Februari, beberapa jam selepas ketegangan diplomatik tercetus apabila Kang Chol mengkritik siasatan pihak berkuasa ke atas pembunuhan Kim Jong Nam.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam kenyataan 2 hari lepas berkat Kang Chol diusir kerana gagal menghadap Raja Nushirwan di Wisma Putra.

Anifah mendedahkan kerajaan dalam pertemuan dengan delegasi Korea Utara meminta permohonan maaf secara bertulis daripada Pyongyang mengenai tuduhan yang dilemparkan duta mereka terhadap Malaysia.

Kang Chol mendakwa Malaysia cuba “menyembunyikan sesuatu” dalam kematian Jong Nam, dan menambah Korea Utara tidak boleh mempercayai siasatan Malaysia yang “bermotif politik”.

Kang Chol berkata, jika benar Jong Nam dibunuh, maka Malaysia perlu bertanggungjawab sepenuhnya.

Beliau turut membidas Datuk Seri Zahid Hamidi, mendakwa timbalan perdana menteri membuat dakwaan palsu mengenai identiti Jong Nam dan menuduh Malaysia berpakat dengan negara asing.

Beliau menambah permohonan bedah siasat kedua, yang disifatkannya sebagai “cubaan untuk merosakkan jasad”, merupakan pencabulan hak asasi manusia dan menunjukkan betapa “terdesaknya mereka untuk mengalihkan kesalahan kepada kami”.

Pertelingkahan dengan Korea Utara bermula apabila Malaysia menjalankan bedah siasat ke atas mangsa bunuh walaupun dibantah Pyongyang.

Pihak berkuasa tidak mahu melepaskan mayat sehingga ahli keluarga mangsa tampil memberikan sampel DNA.

Jong Nan, abang sebapa kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, dibunuh menggunakan agen saraf VX, oleh 2 wanita, semasa menunggu penerbangan pulang ke Macau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Februari.

Difahamkan 11 orang rakyat Malaysia berada di Korea Utara ketika ini. Sembilan daripadanya kakitangan kedutaan dan ahli keluarga mereka, manakala 2 lagi sebahagian daripada Program Makanan Dunia PBB.

Tiada ulasan: