HALAMAN SANTAI

Rabu, 8 Mac 2017

Korea Utara tidak akan serang Malaysia - Penganalisis

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
 Post Pic
SHAH ALAM: Korea Utara mungkin tidak akan melancarkan serangan keganasan kepada Malaysia, tetapi negara ini terpaksa 'menerima' pencabulan undang-undang dan hak ke atas rakyat kita di sana.
 
Demikian pandangan Ketua Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar ketika mengulas perkembangan terbaru Kuala Lumpur-Pyongyang.
 
"Kemungkinan itu (serangan keganasan) kita tidak nampak sebab belum ada tanda-tanda ke arah itu. Dari segi logiknya Korea Utara mungkin tidak akan berani berbuat demikian kerana jarak antara negara itu dan Malaysia bukan dekat. Jika mereka hendak menyerang kita, mereka kena lalui banyak negara dan perairan.
 
"Ia (Korea Utara) dipimpin oleh seorang pemimpin yang nampak tidak rasional, maka beliau boleh membuat sesuatu yang dikira tidak masuk akal," ujarnya kepada Antarapos, hari ini.
 
Korea Utara, pada semalam melarang semua rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara ini.
 
Susulan tindakan itu, Malaysia juga menghalang rakyat Korea Utara daripada meninggalkan negara ini, sehinggalah kerajaan memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Korea Utara. 
 
Mohar berkata pemimpin Korea Utara memang terkenal dengan dasar kepimpinannya yang mencabuli hak dan nilai sejagat.
 
"Dia (pemimpin Korea Utara) sudah lakukan kesalahan dari segi undang-undang antarabangsa dengan menyekat keluar rakyat kita. 
 
"Jika itu diambil kira, mungkin yang paling mudah dilakukan adalah untuk terus mencabuli undang-undang antarabangsa dengan mencabuli imuniti yang diplomat kita masih ada di Korea Utara, atau ambil tindakan terhadap rakyat kita di sana," katanya lagi.
 
Susulan sekatan kedua-dua belah negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memanggil mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan memberi jaminan kerajaan akan melakukan segala terdaya untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia di negara itu.
 
"Tindakan Korea Utara adalah untuk memaksa Malaysia mengikut kehendak mereka dalam penyelesaian isu ini.
 
"Memandangkan ia berlaku di Malaysia, sesiapa yang melanggar undang-undang Malaysia ia perlu ke muka pengadilan. Tetapi Korea Utara mempunyai banyak perkara yang hendak disorok sebab itu hal seperti ini terjadi," kata Tunku Mohar.
 
Hubungan Kuala Lumpur-Pyongyang menjadi semakin keruh selepas abang kepada pemimpin Korea Utaram Kim Jong-nam dibunuh menggunakan racun dikenal pasti sebaga agen saraf VX ketika mangsa menunggu di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), pada 13 Februari lalu.
 
 

Tiada ulasan: