HALAMAN SANTAI

Rabu, 15 Mac 2017

KPDNKK rampas tembakau tiruan bernilai RM32,000

 Bernama

Dalam serbuan pertama di sebuah rumah, anggotanya merampas 9,000 bungkusan tembakau bernilai RM18,000

SUNGAI PETANI: Tembakau tiruan yang dianggarkan bernilai RM32,000 dirampas manakala empat lelaki ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Sungai Petani di Gurun, dekat sini pagi tadi.

Ketua cawangannya, Sha’arani Miskat berkata, dalam serbuan pertama di sebuah rumah, anggotanya merampas 9,000 bungkusan tembakau bernilai RM18,000.

“Serbuan kedua pula membabitkan sebuah premis yang dijadikan stor pembungkusan dan sebanyak 8,300 bungkusan tembakau bernilai RM14,000 dirampas.

“Empat lelaki yang berada di premis-premis terbabit sewaktu serbuan dilakukan turut ditahan bagi membantu siasatan, iaitu dua lelaki berusia 40-an dan dua lagi berusia 60-an,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Sha’arani, serbuan yang dilakukan dua pasukan terdiri daripada lapan anggota itu dibuat pada pukul 10.40 pagi, susulan aduan yang diterima daripada pemilik cap dagang produk tembakau terbabit.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan (APD) 2011.

“Saya percaya produk tembakau tiruan ini untuk edaran sekitar kawasan Gurun, Yan, Sungai Petani dan Alor Setar,” katanya.-Bernama

Tiada ulasan: