HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 Mac 2017

Mahfuz: Polis, SPRM kena siasat ejen tawar RM2 juta beli ‘Tan Sri’

 
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata gambaran wujudnya sindiket jual beli pingat darjah kebesaran menjejaskan institusi kesultanan dan Raja Melayu.


mahfuz

PETALING JAYA: Pendedahan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar baru-baru ini berhubung tawaran RM2 juta untuk membeli pingat darjah “Tan Sri” perlu dipandang serius, kata Datuk Mahfuz Omar.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis perlu menyiasat ejen yang terlibat dalam kes seumpama itu.

“Pendedahan Sultan memberikan gambaran wujudnya sindiket jual beli pingat darjah kebesaran di semua negeri seperti yang saya bangkitkan dalam perbahasan titah diraja di Parlimen pada Isnin 13 Mac 2017,” katanya dalam satu kenyataan.

Kelmarin, Sultan Ibrahim berkata darjah kebesaran yang dikurniakan di Johor tidak boleh dijual beli, dan mendedahkan bagaimana orang tengah cuba menawarkan sejumlah wang besar kepadanya untuk menganugerahkan gelaran kebesaran kepada orang tertentu.

“Nak bagi saya RM2 juta untuk satu Tan Sri. Saya kata pada ejen… saya tak nak bagi namakan nanti dia malu… saya kata pergi berambus. Itu bukan periuk nasi saya jual darjah,” katanya dalam wawancara khas bersama Berita Harian sempena Hari Keputeraan Sultan Johor semalam.

Sultan Ibrahim bagaimanapun enggan mengulas jika ada darjah dan pingat diraja dijual beli di negeri lain.

Mahfuz berkata beliau turut bimbang dengan penangkapan ketua dan anggota kongsi gelap yang bergelar “Datuk” sejak akhir-akhir ini.

Katanya, penglibatan “Datuk” dalam sindiket itu boleh memberi gambaran buruk terhadap institusi kesultanan dan Raja Melayu.

“Penglibatan mereka yang bergelar Datuk dalam kumpulan kongsi gelap memberi gambaran mereka memperoleh anugerah tanpa melalui proses tapisan sebaliknya menerusi sindiket yang mungkin mempunyai hubungan ‘mesra’ dengan pihak tertentu.

“Kegiatan ejen sindiket penganugerahan darjah kebesaran ini mencalarkan dan memburukkan institusi kesultanan dan Raja Melayu,” katanya.

Tiada ulasan: