HALAMAN SANTAI

Khamis, 2 Mac 2017

MB Johor jamin kerajaan negeri akan beri kerjasama kepada SPRM

Berita Daily Staff

Kerajaan negeri pimpinannya juga memberikan komitmen untuk memastikan tidak ada campur tangan dari mana-mana pihak bagi memastikan ketelusan dan kelancaran dalam siasatan yang dijalankan.

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Johor Mohamed Khaled Nordin memberi jaminan agensi-agensi dan jabatan kerajaan negeri itu akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dengan penyelewengan dalam urusan hartanah dan perumahan di Negeri Johor.

Khaled berkata, kerajaan negeri pimpinannya juga memberikan komitmen untuk memastikan tidak ada campur tangan dari mana-mana pihak bagi memastikan ketelusan dan kelancaran dalam siasatan yang dijalankan.

“Kerajaan negeri Johor berpendirian bahawa SPRM harus diberikan kerjasama sepenuhnya dalam menjalankan siasatan.

“Semua jabatan dan agensi kerajaan negeri juga akan dipastikan memberi kerjasama terbaik agar siasatan yang adil dapat dilakukan,” katanya.

Pada 24 Feb lalu, enam lelaki termasuk anak dan pegawai khas seorang exco kerajaan negeri Johor ditahan SPRM dipercayai terlibat dengan skandal rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri itu membaitkan hartanah Bumiputera.

Semalam, SPRM menahan seorang lagi kontraktor lelaki dipercayai suspek ketujuh dalam kes berkenaan.

Khaled turut memuji langkah exco terbabit, Abd Latif Bandi yang bertanggungjawab tentang hal ehwal perumahan dan kerajan tempatan yang telah memohon untuk bercuti dari perkhidmatannya dalam kerajaan sehingga siasatan ini selesai.

“Tindakan ini amat bersesuaian agar proses siasatan dapat berjalan dengan lancar dan bebas demi mengangkat integriti dan ketelusan yang senantiasa menjadi pegangan kukuh kerajaan negeri,” katanya lagi.

Tiada ulasan: