HALAMAN SANTAI

Jumaat, 10 Mac 2017

Memang ada ajakan PAS tapi belum ada tarikh - PPBM [TONTON VIDEO]

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Kamarudin Md Nor  mengesahkan bahawa terdapat jemputan daripada PAS kepada parti itu bersabit rundingan agihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sebagaimana yang dinyatakan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 
Bagaimanapun menurut Kamarudin, perkara itu masih tiada kata putus ekoran tiada sebarang tarikh ditetapkan setakat ini untuk perbincangan susulan.     
 
"Tan Sri Muhyiddin orang yang sangat berhati-hati, beliau tidak akan membuat kenyataan kalau tidak ada kebenarannya.
 
"Saya fikir, apa yang berlaku, tidak semua mereka dalam PAS itu terlibat dalam hal ini," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Kamarudin berkata demikian ketika ditanya mengenai penafian oleh beberapa pemimpin PAS terhadap kenyataan Muhyiddin mengenai rundingan agihan kerusi antara kedua-dua parti itu.
 
Rabu lalu, Muhyiddin memberitahu hubungan partinya dengan PAS bertambah baik selepas parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu menjemput partinya bersabit rundingan agihan kerusi bagi menghadapi PRU14.
 
Bagaimanapun, kenyataan Muhyiddin itu dinafikan Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob yang yang menyatakan pihaknya tidak menerima sebarang maklumat atau arahan pun mengenai perkara itu.
 
Dalam masa yang sama Ahmad Yakob menegaskan keputusan untuk mengagih kerusi adalah hak mutlak Pesuruhjaya PAS negeri.
 
Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad pula memaklumkan 'ajakan' tersebut adalah di luar pengetahuannya, sambil menambah, hubungan PAS-PPBM masih di fasa merisik. 
 
Ketika ditanya mengenai penafian Idris sedangkan pemimpin itu adalah antara yang terlibat dalam rundingan bersama PPBM sebelum ini, Kamarudin berkata, berkemungkinan Idris masih belum dimaklumkan mengenainya.
 
"Saya ingat belum sampai (maklumat) kepada dia lagi. Pada masa ditanya itu perkara itu belum sampai kepadanya (Idris) lagi," katanya.
 
"Seperti yang Tan Sri (Muhyiddin) bayangkan bahawa hubungan dan kerjasama kita dengan PAS makin meningkat," katanya lagi.
 
 
 

Tiada ulasan: