HALAMAN SANTAI

Isnin, 13 Mac 2017

Muhyiddin sokong RUU 355 hanya bersifat peribadi - Amanah

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Amanah menyifatkan sokongan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap RUU bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Akta 355), sebagai bersifat peribadi dan tidak menggambarkan sokongan keseluruhan parti pimpinannya.
 
Ketua Pemuda Amanah, Mohd Sany Hamzan berpandangan, apa yang diutarakan Muhyiddin itu hanyalah pandangan sebagai Ahli Parlimen Pagoh, di mana mantan Timbalan Perdana Menteri itu merupakan ahli Parlimen tunggal PPBM.  
 
"Sokongan Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin menggambarkan sokongan beliau sebagai anggota Parlimen Pagoh, dan tidak menggambarkan sokongan daripada ahli atau kepimpinan Bersatu (PPBM) itu sendiri," katanya kepada Antarapos.
 
Sany berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan PPBM bersetuju dengan RUU yang bakal dibawa Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Tuan Ibrahim yang dipetik sebuah portal semalam berkata, hasil perbincangan antara PAS dengan Muhyiddin, Presiden PPBM itu menyatakan pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah berkaitan RUU355 di Parlimen.
 
Bagaimanapun menurut Sany, Amanah tidak mempunyai masalah sekiranya PPBM mahu menyokong langkah PAS itu.
 
Namun ujarnya, adalah lebih baik parti baru itu menunggu sehingga RUU itu dibentangkan terlebih dahulu bagi membolehkan kesemua pihak memahaminya sebelum membahaskan mengenai pindaan yang dicadangkan. 
 
"Saya rasa Tan Sri Muhyiddin sendiri pun tidak tahu apa yang hendak dibawa oleh Ahli Parlimen Marang.  
 
"Sebab itu saya katakan tadi, kita (Amanah) kena tengok dulu apa yang hendak dibawa berkaitan soal 355, soal penjaranya, rotannya, dendanya...Kita nak lihat dulu. Sebab itu ia perlukan perincian, perbahasan," ujarnya lagi
 
Sany dalam masa yang sama menegaskan, pendirian Amanah dari awal lagi tidak menentang hasrat PAS mahu meminda Akta 355, namun pihaknya lebih senang mengambil pendekatan untuk meneliti terlebih dahulu pindaan yang terkandung dalam RUU itu.
 
Jelas beliau, sebagaimana yang ditegaskan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, langkah itu dilihat lebih selamat berbanding mengumumkan terlebih dahulu pendirian berhubung RUU yang dibawa oleh PAS
 
 

Tiada ulasan: