HALAMAN SANTAI

Khamis, 9 Mac 2017

Mustahil PAS kembali bersama Pakatan Harapan, kata Syed Ali

Berita Daily Staff


KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Cheras, Syed Ali Alhabshee berkata, adalah mustahil untuk PAS kembali bertaut dengan blok pembangkang dalam Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Oleh sebab itu katanya, kenyataan terbaru pemimpin tertinggi parti serpihan Umno, PPBM yang mendakwa PAS sudah menampakkan reaksi positif  untuk bersama pakatan pembangkang terutama dalam isu pembahagian kerusi pilihan raya sekadar hebahan kosong.

“PAS sudah terluka dengan kecurangan politik dilakukan parti rasis, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (Amanah) selama berada dalam pakatan tersebut,” katanya, dalam satu kenyataan di laman blog miliknya, hari ini.

“Agak mustahil untuk PAS kembali rujuk, setelah sebelum ini bersengketa dengan DAP dan Amanah pimpinan Mohamad Sabu,” tegasnya.

Katanya, hebahan yang dibuat oleh pemimpin tertinggi PPBM itu hanya untuk mencari populariti dan usaha terdesak parti serpihan itu menagih simpati rakyat.

“Berdasarkan kepada maklumat semasa, rakyat terutama orang Melayu masih tidak menunjukkan sikap positif untuk menyokong PPBM, sebaliknya sekadar rasa ingin tahu sejauhmana relevannya parti tersebut,” ujarnya.

Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan bagaimanapun menjelaskan, sama ada berlaku pakatan membabitkan PAS dan DAP serta PPBM tidak memberi tekanan kepada Umno.

Syed Ali menegaskan, beliau tidak yakin semudah itu untuk PAS kembali bersama blok pembangkang, DAP mahupun PPBM tidak akan memberi tekanan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Tidak, tidak ada apa kesannya kerana Umno sudah masak dengan permainan politik pembangkang dan sebelum ini pun kita (Umno) sudah mengharungi cabaran yang lebih getir,” katanya.

“Kalau dilihat kenyataan beberapa pemimpin tertinggi PAS berhubung perkara itu, adalah agak mustahil,” katanya.

Syed Ali menambah, Umno juga sudah bersiap sedia untuk berdepan dengan apa juga bentuk ancaman pembangkang pada PRU akan datang.

Menurut beliau, jentera pilihan raya Umno dan BN berada pada tahap terbaik dan mempunyai keyakinan cukup tinggi untuk meraih kemenangan yang lebih besar.

“Kita yakin, rakyat tidak mudah untuk berpaling (menyokong pembangkang) walaupun kita nanpak ada berlaku sedikit penurunan deraf sokongan kepada BN,” jelasnya.

Mengenai kemungkinan bekas Presiden Umno paling lama, Dr Mahathir Mohamad untuk kembali semula dalam politik dengan bertanding pada PRU akan datang, beliau menjelaskan tidak ada siapa boleh menghalangnya.

“Terpulang kepada Dr Mahathir, jika dia fikir tindakan itu baik dan bersedia untuk berdepan dengan Umno, teruskan, tiada masalah,” katanya.

Bagaimanapun beliau berpendapat Dr Mahathir tidak akan membiarkan dirinya menjadi alat kepada segelintir pihak yang sememangnya mahukan beliau bertanding.

“Kadangkala ada satu pihak lebih suka melihat Dr Mahathir terus bergasak dalam politik kerana pihak berkenaan boleh mengaut keuntungan peribadi,” tegasnya.

Tiada ulasan: