HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 Mac 2017

NUJ kecam peraturan larang wartawan bertugas di Parlimen

Kumara Sabapatty
Petugas media membuat liputan persidangan Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL,

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) hari ini mengecam larangan kepada pengamal media tempatan untuk berkumpul di lobi Parlimen sahaja ketika membuat laporan perjalanan Dewan Rakyat.

Presidennya, Mohd. Taufek Razak kesal dengan peraturan berkuatkuasa serta merta itu yang ditetapkan oleh Yang DiPertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Beliau berkata, para pengamal media sepatutnya dibenarkan untuk mengumpul berita di dalam bangunan Parlimen selagi ia tidak melanggar peraturan atau etika.

“NUJ menerima laporan tentang larangan terbaru yang dikeluarkan YDP Dewan Rakyat kepada wartawan hari ini.

“NUJ berpendapat ia satu cara untuk menghalang tugas wartawan daripada bebas mendapatkan maklumat di Parlimen.

“Selagi wartawan tidak melanggar peraturan Parlimen, larangan tersebut boleh dianggap satu penindasan terhadap tugas wartawan untuk mendapatkan berita yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.

Kenyataan Mohd. Taufek menyusul selepas Pandikar Amin berkuatkuasa serta merta telah melarang pengamal media berlegar-legar di lobi Parlimen.

Tambah Taufek NUJ sememangnya mengecam larangan seumpama itu.

“Ia boleh menunjukkan bahawa Malaysia tidak mengamalkan kebebasan media yang sepatutnya apatah lagi ia berlaku di Parlimen yang menjadi lambang demokrasi negara ini,” katanya lagi.

Beliau berharap Speaker Dewan Rakyat itu mempertimbangkan semula larangan itu.

“Saya berharap beliau dapat mempertimbangkan semula larangan ke atas wartawan di Parlimen.

“Saya berharap Tan Sri Pandikar dapat melihat semula larangan itu yang hanya menyukarkan liputan mereka.
“Kami NUJ akan menghargai kerjasama beliau sekiranya larangan yang dikenakan itu dapat dilonggarkan semula, itulah harapan kesatuan ini,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette


Tiada ulasan: