HALAMAN SANTAI

Ahad, 5 Mac 2017

Pahang lepas tangan, biarkan Tasik Chini tercemar

Senduksiku Keluang
 
Pencemaran tasik semula jadi itu kronik tetapi Kerajaan Pahang tidak prihatin mengenai pencemaran yang berlaku

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh membidas Kerajaan Pahang kerana membiarkan pencemaran Tasik Chini berlarutan sejak 10 tahun lalu.

Katanya, persekitaran kawasan tasik semula jadi yang kedua terbesar di negara ini semakin terjejas akibat pelbagai kegiatan tidak terkawal di sekelilingnya.

“Pencemaran yang berlaku agak kronik tetapi setakat ini Kerajaan Negeri Pahang tidak prihatin dan ambil peduli berkenaan Tasik Chini.

“Berdasarkan maklumat yang saya peroleh daripada Orang Asli di sana, ikan-ikan pun sudah tidak boleh dimakan,” katanya menerusi kenyataan media di sini.

Fuziah berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehnya, beliau percaya wujud kegiatan pembalakan haram di kawasan persekitaran Tasik Chini yang mana menyumbang kepada pengecilan saiz tasik itu.

Katanya, Kerajaan Pahang bersikap lepas tangan dan membiarkan pembalakan haram itu terus berlaku dan mengancam ekosistem kawasan tadahan di negeri berkenaan.

“Saya merayu Kerajaan Persekutuan membantu rakyat Pahang memulihkan segera Tasik Chini bagi menjamin biodiversiti tasik itu supaya ia tidak terancam.

“Kerajaan Pahang sepatutnya mengambil langkah pro aktif dengan menjaga keindahan alam sekitar di tasik berkenaan bagi memastikan ia kekal sebagai tempat tarikan pelancongan,” katanya.

Bulan lalu, akhbar Harian Metro telah mendedahkan bahawa Tasik Chini kini terancam akibat pembalakan, perlombongan dan perladangan di kawasan sekitarnya.

Akhbar berkaitan kerajaan itu turut mendedahkan, tasik semula jadi di Pahang itu hanya menunggu masa untuk kering dan ianya akan menjejaskan biodiversiti negeri berkenaan dalam jangka masa panjang.

Tiada ulasan: