HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 Mac 2017

‘Parlimen perlukan speaker reformis seperti Hannah Yeoh’


Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Parlimen Malaysia memerlukan seorang Speaker seperti Speaker Dewan Negeri Selangor, Hannah Yeoh bagi membawa agenda perubahan yang boleh mengangkat kembali martabat dan peranannya.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata Hannah mempunyai idea besar dan berani bagi mengangkat nama baik DUN Selangor, contohnya dengan menjadikan Adun BN sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC).

“Peranan institusi Ketua Pembangkang telah diberi pengiktirafan sewajarnya untuk melakukan proses semak-imbang dengan lebih berkesan.

”Walaupun masih banyak perlu dilakukan, Speaker Hannah Yeoh telah memulakan langkah sebagai seorang reformis yang berani,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Haji Ayub.

Bagaimanapun, menurut Salahuddin, perkara ini tidak berlaku di peringkat Parlimen.

Jelasnya, speaker parlimen kebiasaannya dilantik bagi membalas budi, dan bukannya dipilih berdasarkan keupayaan dalam membuat perubahan atau pelaksanaan idea baru.

Malah, katanya, institusi parlimen di Malaysia hari ini tidak mengalami banyak perubahan selain pindaan kecil melibatkan peraturan mesyuarat. Namun, ia tidak melibatkan penambahbaikan bersifat struktur.

Beliau kemudiannya membuat perbandingan dengan parlimen di Korea Selatan yang berkuasa memecat ketua kerajaan yang menyalahgunakan kuasa atau terlibat dalam rasuah.

“Korea Selatan menyaksikan bagaimana institusi parlimen memiliki kedudukan begitu penting dalam memelihara integriti dan urustadbir yang baik demi menjaga kepentingan awam.

“Paling terkini, presidennya telah disingkirkan melalui proses ‘impeachment’ yang mendapat dukungan dan sokongan kuasa rakyat,” ujarnya.

Hal ini, kata Salahuddin, tidak terjadi di Malaysia.

“Di negara kita, isu-isu mega seperti 1MDB dan MO1 tidak dizinkan oleh Speaker untuk dibahas oleh ahli-ahli parlimen atas alasan subjudis.

“Cuba bayangkan, jika isu ini berlaku di Amerika Syarikat, Thailand atau Iceland tentunya nasib Ketua Negara akan dikafankan oleh Parlimen melalui proses impeachment,” katanya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: