HALAMAN SANTAI

Rabu, 1 Mac 2017

PAS boleh hilang Kelantan jika degil untuk sendirian - Amanah

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Amanah yakin PAS bakal kehilangan kubu kuatnya di Kelantan pada pilihan raya akan datang sekiranya parti itu terus bersendirian.
 
Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad berkata, PAS tidak perlu mendabik dada untuk menunjukkan kekuatan mereka, dan perlu menghargai peluang untuk bekerjasama dengan parti lain untuk mempertahankan negeri berkenaan. 
 
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasruddin Hassan bahawa azam Amanah untuk menawan Kelantan sekadar 'angan-angan politik'.
 
"Di Kelantan kita perlukan kerajaan gabungan yang terdiri daripada Amanah, PKR dan PPBM. Ini antara kegagalan PAS, iaitu tidak menghargai keperluan bekerjasama dengan orang lain dan menganggap dirinya cukup kuat.
 
"Soal sama ada PAS kekal atau tidak (di Kelantan), saya rasa PAS pun mesti bersedia untuk lebih bersikap terbuka dan berbincang. Jika ia masih hendak bersendirian seperti sekarang, saya yakin PAS akan kehilangan Kelantan," demikian menurut Khalid kepada Antarapos, hari ini.
 
Nasruddin turut mendakwa bukan mudah untuk Amanah yang disifatkan baru setahun jagung untuk merampas Kelantan daripada PAS, memandangkan ia masih lagi belum mempunyai kekuatana seperti cawangan, ahli dan pengudi.
 
Membidas Nasruddin, Khalid mendakwa rakyat Kelantan 'menderita' kegagalan kepimpinan kerajaan negeri yang baru di bawah Datuk Ahmad Yakob selaku menteri besarnya.
 
Apatah lagi stail menerajui rakyat dan negeri Cik Siti Wan Kembang itu tidak menyerupai apa yang telah dikecapi Allahyarham Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat hampir 20 tahun.
 
"Hakikatnya PAS telah diberikan amanah untuk memerintah sekian lama. Selama ini di bahawa kepimpinan Tok Guru Nik Aziz ramai berpuas hati. 
 
"Tetapi tidak ada yang boleh nafikan bahawa kebelakangan ini di bawah kepimpinan yang baru, termasuk exco baru, ramai yang begitu tak berpuas hati. Sama ada ia akan menghasilkan kemenangan untuk Amanah atau sebaliknya, hanya dapat dibuktikan melalui pilihan raya," kata Khalid lagi.
 
Lebih lanjut menurut Khalid, yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Amanah tidak terkesan dengan sebarang tanggapan negatif PAS terhadap parti itu.
 
"Kita bercakap atas realiti, bukan atas semangat. Mereka (PAS) kata kita bercakap atas semangat dan bukan realiti. Namun bagi kita apa yang sedang berlaku, tiada siapa boleh nafikan. 
 
"Malahan Barisan Nasional (BN) pun begitu yakin jika Amanah tiada mereka boleh menang kembali Kelantan berdasarkan suasana di Kelantan di bawah kepimpinan yang baru tidak sama sebagaimana di bawah kepimpinan Nik Aziz," tegasnya lagi.
 
 

Tiada ulasan: