HALAMAN SANTAI

Jumaat, 10 Mac 2017

PAS: Jangan berlengah, minta bantuan China

MALAYSIAKINI


PAS hari ini menggesa kerajaan tidak lagi berlengah untuk menggunakan pihak ketiga bagi meredakan ketegangan dengan Korea Utara.

Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hubungan baik Malaysia-China susulan lawatan perdana menteri ke republik itu sebelum ini harus dimanfaatkan sepenuhnya.

“Memandangkan ekonomi Korea Utara amat bergantung pada negara China, negara China menjadi pilihan terbaik sebagai perantara dan perunding bagi membebaskan rakyat Malaysia yang ditahan di Korea Utara dan Malaysia perlu memberi jaminan yang sama kepada Korea Utara,” katanya.

Di samping berharap siasatan terhadap kematian Kim Jong-nam dapat diselesaikan semula, beliau berkata pendekatan diplomasi ini akan membawa kepada penyelesaian yang aman.

China menjadi pilihan ramai sebagai pengantara untuk menyelesaikan ketegangan itu, terutamanya bagi membawa pulang 11 rakyat Malaysia yang disekat keluar dari negara itu.

Bagaimanapun, Parti Amanah Negara (AMANAH) mempunyai pandangan berbeza apabila mahukan Norway dilantik sebagai pengantara memandangkan reputasinya dalam dunia diplomatik.

Ketegangan Putrajaya-Pyongyang tercetus apabila Korea Utara tidak berpuas hati dengan siasatan Malaysia terhadap kes kematian Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi negaranya Jong-un.

Jong-nam, yang mendapat perlindungan China, mati dibunuh di lapangan terbang di KLIA2 pada bulan lalu.


Tiada ulasan: