HALAMAN SANTAI

Ahad, 19 Mac 2017

PAS mesyuarat dulu sebelum tentukan kerjasama dengan PPBM

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
KUALA LUMPUR: PAS menerima apa sahaja pendirian Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung kerjasama parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
 
Namun begitu menurut Naib Presidennya, Dr Idris Ahmad, segala keputusan rasmi akan dibincangkan menerusi mesyuarat parti terlebih dahulu, termasuk membawa pandangan pimpinan tertingginya itu.
 
"Pandangan Presiden kita kena pakai sebab ada pemberat (kelebihan) sebagai pimpinan dan Presiden parti.
 
"Semua keputusan melibatkan parti akan diadakan mesyuarat dahulu. Kalau nak berkawan dengan parti lain, kita kena mesyuarat malah nak putuskan hubungan pun kita akan adakan mesyuarat," katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Titiwangsa ke-32 di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) hari ini.
 
Semalam Hadi dilaporkan berkata PAS tidak akan mengadakan kerjasama rasmi dengan PPBM selepas parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu bakal menyertai Pakatan Harapan (PH).
 
PPBM pada Selasa lalu secara rasminya mengumumkan penyertaannya ke dalam PH dengan turut mencadangkan penyertaan pengubahsuaian nama pakatan berkenaan.
 
Pelbagai kenyataan berhubung rundingan kerjasama PAS dan PPBM dikeluarkan selepas parti baru itu mengumumkan penyertaan mereka ke dalam pakatan berkenaan, apatah lagi ia dikatakan masih mengadakan perbincangan dengan PAS.
 
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyatakan PAS menganggap partinya tidak ada lagi hubungan dengan PPBM jika ia sah menyertai PH.
 
Bagaimanapun kenyataan Mohd Amar dilihat bertentangan dengan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menegaskan pandangan tersebut bukan pendirian rasmi parti, sebaliknya hanya bersifat peribadi.
 
Soal kenyataan yang berbeza-beza ini kemudiannya diajukan kepada Idris, apakah ia akan menimbulkan kekeliruan dikalangan ahli parti.
 
"Saya rujuk kepada kenyataan Presiden semalam. Kita kena pakai kenyataan Presiden. Tidak ada percanggahan.
 
"Sebagai prinsip kita apa yang dikeluarkan oleh Presiden ada kelebihan, tidak perlu kita pertikaikan. Sebab keputusan muktamad adalah ditangan PAS Pusat," tegas Ahli Parlimen Bukit Gantang itu lagi.
 
 

Tiada ulasan: