HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 Mac 2017

PAS perlu sedar kekuatan jika sendirian PRU14

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Penganalisis politik mengingatkan kedudukan kerusi Parlimen yang dimiliki PAS ketika ini adalah disebabkan penggabungan parti itu dengan pembangkang yang lain.
 
Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose yang juga merupakan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN) menjangkakan, PAS perlu bersedia berdepan dengan risiko kehilangan lebih banyak kerusi jika tetap dengan pendirian untuk bersendirian pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
"PAS tak banyak pilihan dan kemenangan mereka pun sangat-sangat bergantung kepada sokongan dulu DAP dengan PKR. PAS tahu kalau bersendiri sangat-sangat mencabar untuk menang.  
 
"Sudah (pasti hilang banyak kerusi) kalau inilah pendirian PAS, (PAS boleh pilih) samada untuk mendekati BN atau akan berbaik-baik (dengan pembangkang), itu yang kita tunggu," katanya kepada Antarapos.
 
Malah katanya PAS sedar akan risiko yang bakal diambil ini akan merugikan parti pimpinan Datuk Seri Abd Hadi Awang itu.
 
"Cara PAS letakkan diri sekarang lebih (pentingkan) prinsip perjuangan, bukan soal kalah menang lagi dah. Prinsip perjuangan nak bangunkan Islam, dia dah tak nak bersengkongkol dengan DAP. Walaupun dia tahu kesan dia sangat-sangat mencabar," ujar beliau.
 
Walau bagaimanapun, beliau tidak menolak PAS mungkin akan mencapai satu persefahaman yang berbeza di Selangor disebabkan hubungan baik yang terjalin di negeri itu sejak Pakatan Rakyat (PR) memerintah 2008.
 
"Tapi dalam kes Selangor contohnya, kemungkinan besar kalau tak ada pilihan lain mereka akan buat pakatan pilihan raya yang lain. (Fokus) strategi pilihan raya saja, bukan bergabung, mungkin ada persefahaman," katanya.
 
Ramai pihak menjangkakan PAS akan meneruskan niat untuk bersendirian pada PRU14 selepas menutup pintu rundingan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
 
Bukan itu sahaja, parti itu juga bakal melihat kembali hubungan tahaluf siyasi PAS-PKR pada Muktamar mereka April depan.
 
Kedua-dua faktor ini dilihat mengukuhkan andaian bahawa tidak mustahil untuk PAS berbuat demikian.
 
 

Tiada ulasan: