HALAMAN SANTAI

Rabu, 8 Mac 2017

Pembangkang perlu kurang politiking untuk jayakan TN50 – Najib

Muhamad Izwan Mohd Zubit
-
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia. foto SAFWAN MANSOR,

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menggesa supaya pembangkang mengurangkan politiking jika mahu memastikan dasar baharu diperkenalkan Transformasi Nasional 2050 (TN50) mencapai matlamat yang disasarkan kerajaan, ia bagi mengelak nasib sama menimpa Wawasan 2020 yang diperkenalkan pentadbiran terdahulu.

Perdana Menteri menegaskan, Wawasan 2020 yang diperkenal tidak gagal cuma wujud kelemahan dalam pelaksanaannya mengambil kira cabaran faktor luaran yang tidak dapat dielak.

“Kalau kita kurang politiking, lebih mudah nak sampai ke matlamat tersebut. Kita bukan gagal (Wawasan 2020), kita akui ada kelemahan sebab kalau kita letak sesuatu sasaran ia mestilah ambitious kalau tidak ia tidak ada maknanya.

“Bila kita letak tahap tinggi ada kekurangan dalam pencapaian, tambah lagi ada faktor luaran yang diluat kawalan kita, umpamanya kemelesetan ekonomi, harga minyak jatuh dan harga komoditi merudum. Kita bukan gagal, kita berjaya sebenarnya tapi masih ada ruang untuk ditingkatkan lagi pada masa akan datang,” kata Najib semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat pagi ini.

Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen mengemukakan beberapa soalan berhubung TN50 yang dilancar oleh Najib pada 19 Januari lepas.

Najib juga menjelaskan pengenalan TN50 adalah kesinambungan kepada dasar terdahulu dimana ia merupakan sebuah falsafah dan visi ke arah membentuk Malaysia sebuah negara lebih berjaya dan disegani.

“Untuk makluman, TN50 adalah sebuah konsep falsafah dan visi yang lebih luas dan mencakupi segenap segmen dan dimensi kehidupan ke arah membentuk Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih berjaya dan disegani.

“Sesungguhnya pelaksanaan dasar ini adalah kesinambungan kepada dasar jangka panjang terdahulu untuk tentukan hala tuju negara bagi satu tempoh akan datang,” katanya lagi.

Menurut Najib, proses ke arah pelaksanaan TN50 berbeza dengan dasar terdahulu kerana ia dilakukan daripada bawah ke atas (bottom up) dan bukan daripada atas ke bawah (top down).

Dengan pelaksaan TN50 ini, Najib mensasarkan ekonomi negara bertumbuh pesat dengan pertumbuhan disasarkan meningkat kepada RM2 trilion dalam tempoh lapan tahun akan datang.

“Kesimpulannya kerajaan amat komited untuk menjayakan TN50 ini, setakat ini kerajaan meletak sasaran sederhana iaitu untuk mengembangkan ekonomi negara daripada RM1.3 trilion kepada RM2 trilion dalam tempoh lapan tahun akan datang,” ujarnya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: