HALAMAN SANTAI

Rabu, 15 Mac 2017

Pembangkang sering kelirukan rakyat, kata Annuar Musa

 Bernama


KUALA LUMPUR: Seorang anggota Parlimen hari ini mendakwa pembangkang sering mengelirukan rakyat dengan menggambarkan kononnya kerajaan menjual negara melalui pelaburan asing.

Annuar Musa (BN-Ketereh) berkata ia termasuk dakwaan pembangkang bahawa negara akan terjual kepada China berikutan pelaburan besar daripada negara itu.

“Dalam sejarah negara ini, Jepun pernah menjajah Malaysia (sewaktu Perang Dunia Kedua), negara China tidak pernah menjajah kita dan dalam rekod sejak kemerdekaan, antara negara yang diberi layanan istimewa untuk melabur di negara ini adalah Jepun.

“Kalau Jepun ada rekod menjajah negara kita, kemudian satu ketika datang melabur pula dengan jumlah yang besar, apakah kita kini dijajah oleh Jepun,” soalnya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Annuar yang juga Ketua Penerangan Umno berkata pada 1993, Jepun menghulurkan 11.26 bilion Yen pinjaman kepada Malaysia, sewaktu Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.

Malah menurutnya, Malaysia menjadi negara penerima terbesar Japan Overseas Development Assistance antara tahun 1969 hingga 2001 yang berjumlah 26.39 bilion Yen dalam bentuk pinjaman bilateral.

“Saya juga boleh sebut beberapa projek penting di negara kita mendapat pembiayaan daripada Jepun termasuk Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor, pembinaan Empangan Kenyir, Projek Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa negara membuat pinjaman luar negara yang amat tinggi dan melebihi kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ketika pentadbiran Dr Mahathir.

“Pada tahun 1986 tahap pinjaman luar negara ketika itu mencecah 103.4 peratus berbanding KDNK, tahun 1988 iaitu 96.4 peratus, pada tahun 1990 pula kira-kira 75 peratus berbanding KDNK.

“Dengan jumlah pelaburan Jepun yang begitu besar dan hutang negara yang begitu tinggi, adakah negara kita ini telah dijajah oleh Jepun? Jawabnya tidak,” katanya.

Terdahulu, semasa memulakan ucapan perbahasannya, Annuar mengucapkan ‘tahniah’ kepada Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) yang terus berkhidmat sebagai anggota Parlimen untuk tempoh yang lama dan menguasai sebuah parti politik.

“Dalam sejarah politik dunia, kita melihat Dr Mahahtir berkhidmat selama 22 tahun, presiden Ferdinand Marcos 21 tahun, Saddam Hussein 30 tahun, Robert Mugabe 37 tahun, pemimpin Korea Utara Kim Il-sung 46 tahun dan Gelang Patah (Lim) mencapai 50 tahun dengan retorik politik, saya ucapkan tahniah kepada beliau,” katanya.

Ucapan Annuar itu tidak disenangi Lim yang bangkit untuk mencelah, bagaimanapun tidak diberi laluan oleh Annuar dan menyebabkan Lim menuduh Annuar sebagai penakut dan pengecut.

Suasana agak tegang dengan beberapa anggota Parlimen pembangkang terutama DAP menjerit kepada Annuar dengan menggelarnya sebagai ‘ayam’, ‘chicken’ dan ‘pondan’.

Kekecohan berlarutan kira-kira lima minit, sehinggalah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Dr Ronald Kiandee mengingatkan angggota Parlimen agar mematuhi peraturan dewan dan setiap pencelahan perlu mendapat keizinan daripada pembahas.-Bernama

Tiada ulasan: