HALAMAN SANTAI

Ahad, 5 Mac 2017

Pembayaran BR1M secara manual peluang pemimpin bertemu rakyat, kata Shahidan

 BERNAMA

Shahidan KassimShahidan Kassim

Pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) secara manual sebenarnya lebih mudah dan cepat selain peluang rakyat menemui pemimpin untuk meminta pertolongan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata pembayaran BR1M secara manual wajar dijadikan program pemimpin turun padang dan disertai sama wakil-wakil rayat serta ketua-ketua jabatan peringkat negeri.

"Hari ini ramai mengambil kesempatan bertemu saya untuk mengadu masalah mereka. Yang mana boleh dibantu, saya bantu atau dipanjangkan kepada jabatan berkaitan," katanya.

Beliau yang ditemui pada majlis pembayaran BR1M bagi penerima dalam kawasan Dewan Undangan negeri (DUN) Bintong hari ini turut melahirkan rasa sedih dengan sikap segelintir masyarakat mempertikaikan pembayaran secara manual.

Seramai 9,770 penerima menerima BR1M masing-masing secara tunai dalam tiga sesi pada pagi dan petang ini manakala sesi ketiga esok di tempat sama. Pembayaran sesi pertama selesai dalam masa kira-kira dua jam sahaja.

Dalam mempertahankan pandangannya, Shahidan berkata kerajaan bersedia menambah baik pembayaran BR1M secara manual agar menyenangkan rakyat.

Ketika ditanya mengenai beliau menjadi punca BR1M di Perlis dibayar secara manual yang menjadi tular dalam media sosial, Shahidan berkata ia adalah keputusan kerajaan namun ia adalah wajar kerana penerima mengalami kesulitan dan membuang masa sehingga tiga jam apabila mengambilnya di bank.

"Saya dapat maklum balas ramai mahu BR1M dibayar secara manual kerana mereka boleh dapatkan tunai secara terus namun apa sahaja pandangan rakyat akan diambil kira.

"Mereka yang memaki hamun saya pula wajar berfikir dan bertaubat. Jika memfitnah sampai tahap berleluasa, saya mungkin membuat laporan polis dan mengambil tindak balas yang sepatutnya," kata Shahidan

Tiada ulasan: