HALAMAN SANTAI

Khamis, 9 Mac 2017

Pemimpin agama terbukti tidak melakukan apa-apa, Melayu perlukan DAP

 Berita Daily Staff

Melayu lebih mempunyai pemimpin agama yang tidak mampu mengajar nilai-nilai berguna untuk membantu mereka dalam mempertingkatkan kehidupan

KUALA LUMPUR: Masyarakat Melayu di negara ini memerlukan DAP kerana sejak 60 tahun kemerdekaan, komuniti itu mempunyai lebih ramai pemimpin agama yang tidak mampu mengajar nilai-nilai berguna bagi meningkatkan kehidupan mereka, kata Zaid Ibrahim.

Bekas menteri Kabinet itu berkata, Melayu hari ini sangat memerlukan kepimpinan baharu untuk membantu mereka agar setanding dengan bangsa-bangsa lain.

“Selepas 60 tahun merdeka, Melayu lebih mempunyai pemimpin agama yang tidak mampu mengajar nilai-nilai berguna untuk membantu mereka dalam mempertingkatkan kehidupan.

“Mereka hanya diberitahu apa hukuman yang menanti apabila mereka mati atau mungkin mendatangkan rasa malu dalam kehidupan,” kata Zaid, di laman blog miliknya, hari ini.

Ahli DAP itu berkata, dengan menggunakan hanya beberapa contoh, pemimpin-pemimpin agama terbukti tidak melakukan apa-apa untuk membantu menghentikan penyebaran HIV dan lain-lain penyakit kelamin.

“Mereka juga tidak melakukan apa-apa untuk mengurangkan penyalahgunaan dadah yang berleluasa dalam masyarakat.

“Malah mereka tidak melakukan sebarang usaha untuk membantu beribu-ribu ibu tunggal. Mereka tidak menyelesaikan masalah. Mereka hanya tahu berdakwah dan mengajar,” katanya.

Zaid berkata, beliau gembira melihat aktiviti-aktiviti pemimpin muda menjalankan pelbagai kerja kemasyarakatan yang mampu menawarkan penyelesaian praktikal kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh golongan miskin dan mereka yang memerlukan.

Mereka juga katanya terlihat amat berdedikasi dan sebahagiannya adalah terdiri daripada pemimpin-pemimpin muda Melayu.

“Pemimpin politik Melayu secara umumnya adalah tidak berguna dan hipokrit. Mereka selalu melaungkan ‘pertahankan Raja-Raja Melayu’, tetapi mereka tidak pernah memberitahu orang Melayu apa sumbangan besar dan baik yang Raja-Raja telah lakukan selama ini.

“Mereka menggesa orang Melayu untuk ‘mempertahankan Islam’ tetapi mereka tidak peduli tentang ramai orang Melayu yang tidak boleh memberitahu perkara yang mudah selain betul atau salah, baik atau buruk atau bagaimana penggubahan wang haram boleh bermula dengan sumbangan atau derma,” katanya.

Mereka juga bercakap tentang “hak Melayu” tetapi kuota Bumiputera banyak dialihkan kepada yang tidak layak dan  tanah rezab Melayu pula dicuri  sepanjang masa.

Melayu katanya memerlukan wadah baru untuk menebus pengaruh ideologi Taliban dan untuk membebaskan mereka daripada amalan politik yang rakus dan korup.

“Mereka memerlukan satu wadah baru yang boleh memberikan mereka kerajaan yang baik, pendidikan yang baik dan nilai-nilai yang baik untuk rakyat,” katanya, dan menambah, Melayu semua perlu menyertai Pakatan Harapan supaya sebuah kerajaan baru dibentuk dan dapat membantu mereka mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik.

Tiada ulasan: