HALAMAN SANTAI

Ahad, 5 Mac 2017

Pemuda Amanah: Permukiman Menteri Besar Perak bukan tempat tabur janji baharu

 MALAYSIA DATELINE

Zainal Abdul MuaainZainal Abdul Muaain


Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Perak mengingatkan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir agar tidak menjadikan program Permukiman Menteri Besar Perak sebagai medan untuk menabur janji baharu.

Sebaliknya kerajaan negeri diharapkan memanfaatkan program tersebut untuk melihat realiti sebenar rakyat bawahan yang sangat tertekan dengan peningkatan kos sara hidup.

Naib Ketua Pemuda Amanah Perak Zainal Abdul Muaain berkata, rakyat juga perlu bertindak jujur mendesak kepimpinan kerajaan negeri menyelesaikan permasalahan mereka serta mengotakan janji-janji sebelum ini.

"Program yang melibatkan rakyat di kawasan terlibat ini perlu dijadikan medan muhasabah kepada kerajaan negeri. Kerajaan negeri perlu mengenal pasti janji-janji yang ditabur oleh mereka sebelum ini kepada masyarakat di kawasan tersebut yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada kemenangan mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

"Kami berharap agar program ini tidak dijadikan medan untuk kerajaan negeri menabur janji-janji baru yang berkepentingan buat mereka terutama dalam menghadapi PRU14 tidak lama lagi," katanya dalam kenyataan.

Program Permukiman Menteri Besar Perak melibatkan semua barisan Exco negeri yang akan ‘berkampung’ di daerah tersebut selama lima hari dengan melibatkan pelbagai program.

Program itu akan diteruskan di daerah Perak Tengah bermula 7 Mac ini sehingga 11 Mac hadapan.
Zambry berkata, program permukiman di daerah itu akan melibatkan kawasan Parit, Bota dan Kampung Gajah.

Mengulas lanjut, Zainal berkata mellaui program itu, kerajaan negeri boleh melihat sendiri kerelevanan kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang melaporkan Perak menjadi negeri kedua yang mempunyai isi rumah kurang di bawah RM2,000 sebulan selain 81.1 peratus isi rumahnya berpendapatan kurang RM6,000 sebulan.

"Rakyat dibelenggu dengan tekanan yang tidak berpenghujung terutama pasca perlaksanaan cukai barangan dan pendapatan (GST) yang terpaksa ditanggung oleh seluruh masyarakat termasuklah di kampung-kampung dan kawasan pedalaman.

"Pelaksanaan GST telah menyebabkan harga barangan meningkat saban hari dan dalam masa yang sama pendapatan perkapita rakyat masih di tahap yang sama," katanya lagi.

Semalam, Zambry merasmikan majlis perasmian Kampung Karyawan Malim di Lembah Gunung Tempurung, Gopeng.

kawasan berkenaan dibangunkan sebagai tempat golongan seniman dan karyawan berkumpul berkongsi idea serta menghasilkan karya masing-masing.

Tiada ulasan: