HALAMAN SANTAI

Jumaat, 10 Mac 2017

Permohonan BR1M meningkat, rakyat semakin susah tanggung kos hidup

 Shawaliah Hadir

Justeru itu permohonan BR1M meningkat hampir dua kali ganda semenjak ia diperkenalkan pada 2012

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia hidup dalam kesusahan untuk menyara kehidupan seharian.

Shahrul Idham

Demikian kata Mohd Shahrul Idham Mohd Zulzakya, 23 yang bekerja sebagai kru produksi.

Menurut Mohd Shahrul, jumlah permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang meningkat saban tahun sudah cukup membuktikan bahawa rakyat negara ini kian dihimpit kemelut ekonomi yang menjejaskan kos sara hidup.

“Sebenarnya sebab sekarang ini ekonomi yang membuatkan kos sara hidup kita meningkat, gaji pun selalunya tidak cukup untuk menyara diri sendiri, jadi dari situlah makan lama permohonan BR1M makin meningkat,” katanya kepada Berita Daily.

Katanya lagi, serba serbi keperluan hidup yang ingin dipenuhi memerlukan kos yang tidak berpatutan juga menjadi salah satu akibat golongan yang berpendapatan lebih yang sepatutnya iaitu RM4,000 masih memohon untuk mendapatkan BR1M, apatah lagi bagi yang tinggal di pusat bandaraya atau pinggir bandar dan mempunyai keluarga.

“Kadang-kadang yang bergaji lebih daripada had syarat memohon pun masih membuat permohonan sebab tidak cukup untuk tanggung sara hidup mereka.

“Kalau yang tinggal di luar bandar syarat untuk menerima BR1M bagi yang pendapatan kurang RM4000 itu cukuplah, tetapi kalau di KL ia mungkin sudah tidak relevan, bagi yang bujang pun macam saya tidak cukup juga, apatah lagi yang berkeluarga,” ujar beliau.

Sebelum ini Menteri Kewangan II, Johari Abdul Ghani berkata, sebanyak 8,277,391 permohonan BR1M untuk Febuari tahun ini.

Jumlah ini meningkat hampir dua kali ganda penerima bantuan itu pada 2012 iaitu 4.1 juta.

Syukri Yusof

Bagi Mohd Syukri Yusof, 42 yang bekerja sebagai eksekutif pentadbiran pula peningkatan golongan yang tidak berkemampuan dalam negara kini diakibatkan oleh tangga minimum gaji yang tidak berubah di kala kos menyara hidup semakin meningkat.

Kerajaan pula pada waktu ini tambah beliau, dilihat gagal mengawal kenaikan harga barangan keperluan bahkan bertindak mengurangkan subsidi barang tertentu.

“Kalau ikut statistik kita lebih kurang 60% yang berada di bawah tahap mampu (yang kurang berkemampuan) maknanya dari segi purata pendapatan minimun dalam anggaran RM1,000-RM1,500.

“Untuk individu yang belum berkahwin jumlah itu mencukupi, untuk mereka yang berkeluarga dan mempunyai anak-anak dengan kos sara hidup, subsidi yang semakin dikurangkan, kadar tol, minyak yang naik menjadikan setiap keluarga nak menyimpan pun tidak mampu,” kata beliau.

Kamsiah

Justeru itu hanya mahu dikenali sebagai Kamsiah menyarankan agar kerajaan bukan sahaja perlu meneruskan bantuan ini bahkan mencari alternatif lain termasuk menggalakkan ahli-ahli korporat mempelbagaikan program bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“BR1M memang perlu diteruskan jika tidak rakyat tidak boleh lari dari kemiskinan dan kesusahan, rakyat juga perlu galakkan juga bidang korporat untuk sama-sama membantu golongan yang tidak berkemampuan melalui program tertentu sebab ada juga yang terlalu kaya sampai tidak tahu nak gunakan duit ke mana. Perbelanjaan seharian berpuluh ribu ringgit. Ada juga.

“Kerajaan perlu galakkan orang seperti ini bantu orang yang tidak mampu,” kata wanita berumur 71 tahun itu.

Tiada ulasan: