HALAMAN SANTAI

Isnin, 20 Mac 2017

PH‎ dan PPBM jamin tubuh RCI siasat kerugian Felda

 Shawaliah Hadir


SHAH ALAM: Jawatankuasa Teknikal Konvesyen Warga Felda Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menawarkan lima resolusi kepada warga Felda untuk kebajikan peneroka dan mengembalikan hala tuju Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli resolusi yang berkaitan adalah pengukuhan pengurusan dan tatakelola Felda menerusi penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dikhaskan menyiasat keseluruhan kerugian dialami Felda.

Selain itu kedua-dua parti yang kini bekerjasama juga berhasrat untuk membatalkan semua transaksi termasuk pelaburan dalam PT Eagle High Plantation dan pinjaman wang dari Putra Star Investment.

“Kita juga akan mengkaji manfaat dan risiko mengembalikan kawalan majoriti Felda Holdings Berhad dari FGV kepada Koperasi Permodalan Felda,” katanya semasa Konvensyen Warga Felda dengan tema Kelangsungan Felda melalui pengupayaan dan pendidikan di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam.

Konvensyen yang bermula 9:30 pagi tadi dihadiri kira-kira 100 warga Felda.

Resolusi seterusnya adalah usaha meringkankan beban kos sara hidup peneroka menerusi saluran wang sara hidup RM2000 bagi menampung kos tanaman peneroka sehingga kelapa sawit mengeluarkan hasil.

Dilaporkan jumlah wang sara hidup terkini adalah RM1000 hingga RM1500 ‎setiap bulan bagi peneroka.

“Setelah kelapa sawit membuahkan hasil dari 7 ke 15 tahun, wang sara hidup ini boleh dibayar semula dengan potongan minima RM800 sebulan sehingga selesai tanpa faedah.

“Selain itu, akan menubuhkan satu agensi pemantauan yang tidak berat sebelah untuk menyemak semula apa-apa aduan berkaitan Oil Extraction Rate (OER) supaya ia dinilai dengan telua dan peneroka akan dapat harga setimpal,” ujarnya.

Seterusnya satu mekanisme akan diwujudkan untuk berkongsi tanah warisan simbolik kepada keuntungan yang diraih.

“10 peratus daripada pendapatan Felda akan dibayar sebagai bayaran loyalti kepada anak waris. Kemudian, baki pendapatan dibayar kepada Felda untuk menampung kos operasi.

“Dan jika terdapat keuntungan ia akan dikongsi bersama antara Felda dengan waris berdasarkan saiz tanah warisan,” ujarnya.

Kedua-dua parti itu juga memberi jaminan akan membangunkan bandar baru Felda di seluruh negara menerusi keuntungan Felda.

“Disamping itu, meningkatkan hubungan pengangkutan, meningkatkan infrastruktur awam dan menarik pelancong dari luar dan dalam negara untuk melawat kawasan Felda,” ujarnya.

Dan resolusi terakhir dalam konvensyen hari ini adalah penubuhan Universiti Felda bagi meningkatkan tahap pendidikan generasi muda Felda.

“Satu kajian mendapati lebih 95 peratus daripada generasi kedua Felda gagal melanjutkan pelajaran ke IPT, walaupun 80 peratus ingin melanjutkan pelajaran.

“Penubuhan universiti ini akan memberi tumpuan kepada bidang berkaitan dengan industri kelapa sawit, seperti kejuruteraan mekanikal, pertanian, bio-teknologi dan perniagaan,” kata Rafizi lagi.

Antara isu yang menyelebungi Felda sebelum ini adalah kontroversi pengambil alihan 37% pegangan saham dalam syarikat perladangan Indonesia, Eagle High Plantations (EHP) dan ketirisan dalam syarikat pelaburan agensi berkenaan, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Pengerusi Felda Shahrir Samad kemudiannya mengakui Felda dijangka akan menjual lebih banyak aset miliknya tahun ini bagi mengimbangkan kembali kewangan agensi itu susulan terdapat beberapa projek yang bermasalah selepas melepaskan kepentinganya dalam Maybank.

Tiada ulasan: