HALAMAN SANTAI

Ahad, 19 Mac 2017

PPBM akan dominasi PH, termasuk soal calon PM - Penganalisis

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan mendominasi Pakatan Harapan (PH), termasuk dalam soal calon Perdana Menteri jika ia sah menjadi komponen keempat gabungan berkenaan, kata penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani. 
 
"Kalau Bersatu (PPBM) sertai PH, saya rasa mungkin Bersatu (PPBM) akan ambil alih peranan dominan PKR, sebab Tun M ada di situ, Tan Sri Muhyiddin Yassin di situ akan dijadikan sebagai pemimpin utama, mungkin (calon) Perdana Menteri.
 
"Sebelum ini (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dari PKR (calon PM), selepas ini saya rasa Bersatu (PPBM) akan ambil alih peranan tersebut," katanya kepada Antarapos.
 
Menurut Azizuddin, PH masih tidak mempunyai calon Perdana Menteri yang sesuai apabila Anwar yang dinamakan sebagai calon untuk jawatan itu, hampir mustahil tidak dapat bertanding pada pilihan raya umum yang mungkin diadakan dalam masa terdekat.    
 
"Sebenarnya PH tak ada calon yang sesuai...takkan nak beri pada (Datuk Seri) Azmin. (Datuk Seri) Wan Azizah pula tak sesuai. Anwar yang paling sesuai tapi tak mungkin Anwar bertanding. 
 
"Jadi saya nampak kemungkinan dengan kemasukan Bersatu, secara automatik PH ada calon untuk jadi PM. Mungkin Muhyiddin, mungkin Mukhriz pun boleh.
 
"Jadi saya rasa PKR mungkin kena beralah," kata beliau. 
 
PKR sebelum ini tetap bertegas mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri jika pembangkang berjaya menumbangkan BN pada pilihan raya akan datang. 
 
Penegasan yang disuarakan Bendahari PKR, Dr Tan Yee Kew itu dipercayai ekoran pengaruh Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat mula meresapi PH menyebabkan pengaruh Anwar dalam kalangan pemimpin dan penyokong pembangkang mula merundum.
 
Tan juga bertegas, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah wajar dan praktikal untuk menjadi Perdana Menteri sementara, bagi menggantikan Anwar. 
 
Bagaimanapun Azizuddin berpandangan sebaliknya, dimana ujar beliau, penyertaan PPBM ke dalam PH adalah langkah yang menguntungkan kedua-dua pihak.
 
Ujarnya, PH memerlukan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu bagi mengembalikan pengaruh serta kekuatan yang 'kurang' selepas ketiadaan Anwar.   
 
"Jadi saya rasa ini juga kesempatan yang diambil oleh Bersatu untuk kuatkan diri mereka pada masa yang sama," kata Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) itu. 
 
Mengulas mengenai jangka hayat kerjasama antara PPBM dengan PH, Azizuddin berkata ia bergantung kepada keputusan pilihan raya.
 
"Selepas pilihan raya tak tentu lagi (kerjasama bertahan). Bagaimanapun kalau kita lihat konteks sekarang ini, contohnya Pakatan Rakyat walau sudah tiada, kerjasama di Selangor berjalan lagi. Ia berbeza di peringkat nasional dan negeri.
 
"Ramalan saya, jangka hayatnya hanya untuk satu pilihan raya, selepas pilihan raya tak tentu lagi. Lain lah kalau mereka berjaya perintah negara, itu kita tidak pasti," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: