HALAMAN SANTAI

Rabu, 15 Mac 2017

Pua: Hujah Nazri dalam debat mewakili kerajaan


Pedebatan antara Datuk Seri Nazri Aziz dan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 25 Mac ini tetap akan membayangkan pendirian kerajaan dalam isu 1MDB, kata seorang anggota parlimen DAP hari ini.

Menurut Tony Pua, perdebatan itu akan menjadi sia-sia jika Nazri tidak mewakili BN sebaliknya berhujah atas sifat peribadi atau tidak menunjukkan fakta daripada pihak kerajaan.

Ditemui media di parlimen hari, Pua yang juga anggota parlimen Petaling Jaya Utara berkata, Nazri adalah seorang menteri kanan.

"Dia (Nazri) adalah menteri senior, bukan junior. Dia mewakili kerajaan Malaysia dan juga Umno," katanya.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu dijadual berdebat dengan bekas bosnya itu di Padang Rengas, Perak, pada 25 Mac ini.

Pertembungan itu berlangsung selepas Nazri menyambut cabaran Dr Mahathir untuk berdebat mengenai skandal 1MDB - yang dikritik hebat oleh bekas perdana menteri itu - serta beberapa isu lain.

Turut menjadi perhatian ialah skandal kewangan pada zaman Dr Mahathir menjadi perdana menteri, Bumiputra Malaysia Finance (BMF).

Beberapa menteri kanan sebelum ini menyatakan debat berkenaan tidak ada kaitan dengan Umno.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa, berkata debat di antara kedua-dua tokoh itu bersifat peribadi dan tidak ada kena mengena dengan parti berkenaan.

Hanya Nazri berani

Menurut Annuar, Nazri juga tidak merujuk kepada Umno sebelum menyatakan kesediaannya menyahut cabaran Dr Mahathir.

Malah Annuar memberitahu, pihaknya mengetahuinya isu debat berkenaan melalui laporan media.
Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani, pula berkata debat itu tiada kaitan dengan dengan kerajaan.

Ditanya sama ada beliau bersetuju dengan kedua-duanya untuk berdebat pelbagai isu termasuk 1MDB yang terletak di bawah Kementerian Kewangan, Johari menegaskan, perkara itu telah "dibahaskan secara meluas di Parlimen".

"Laporan disediakan oleh Ketua Audit Negara, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah dibincangkan secara meluas di Parlimen, semua soalan telah dijawab di Parlimen.

"Oleh itu, jika kedua-dua individu mahu berdebat, ia di luar (bidang kuasa) saya. Itu bersifat peribadi dan individu, (ia) tidak ada kena mengena dengan kerajaan," katanya.

Pua bagaimanapun membayangkan sedikit pujian kepada Nazri kerana berani berdepan dengan pengerusi Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) itu.

"Saya nak kata di sini, tidak ada seorang (pun sama ada) dalam jemaah menteri atau dalam 1MDB sekarang mahu berbahas mengenai 1MDB.

"Sekarang hanya Nazri Aziz saja yang berani, dan dia menyatakan diberi kebenaran oleh Umno untuk berbahas perkara ini.

"Dan kita terima bahawa beliau adalah calon yang paling baik sekali dikemukakan oleh Umno dan BN untuk berbahas mengenai 1MDB," katanya.

Dalam perdebatan itu nanti, kata Pua, apa saja soalan yang dijawab Nazri, ia adalah bagi pihak kerajaan dan perlu diterima begitu.

"Kalau dia jawab salah, itu dia punya pasal, bukan kita punya pasal," katanya.

Justeru, kata Pua, beliau berharap Nazri akan datang dengan persediaan yang cukup serta fakta kukuh.
Pua juga menyatakan keyakinannya terhadap kemampuan Dr Mahathir berdebat dengan Nazri.

"Saya rasa Dr Mahathir cukup yakin berbahas dengan Nazri, dan paling penting perlu dijawab oleh Nazri, dari mana datangnya AS$731 juta yang muncul dalam akaun Datuk Seri Najib Razak," katanya

Tiada ulasan: