HALAMAN SANTAI

Ahad, 19 Mac 2017

'Pukul sampai tempang' syarat nak lawan Najib

Calon terbaik pembangkang untuk mencabar Datuk Seri Najib Razak di Pekan mestilah seseorang yang paling kuat menjejaskan perdana menteri itu, kata Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Ditanya pendapatnya mengenai hasrat Datuk Ezam Mohd Nor mahu bertanding di Pekan pada pilihan raya umum akan datang, Rafizi berkata persoalan parti mana diturunkan mewakili pembangkang bukanlah persoalan utama.

Ketika isu terpenting kini ialah memperjuangkan nasib rakyat, Rafizi berkata, calon terbaik yang perlu diletakkan di Pekan ialah individu yang mampu memberikan "pukulan paling kuat" kepada Najib.

"Orang yang paling kuat melawan Najib dan berjaya melemahkan Najib, maka sudah tentu dia dilihat sebagai orang paling layak melawan Najib," katanya kepada media di Shah Alam hari ini.
Rafizi ditemui pada majlis Konvensyen Felda anjuran Pakatan Harapan.


Beliau yang juga anggota parlimen Pandan berkata jika Ezam berhasrat untuk bertanding mencabar Najib nanti, bekas ketua pemuda PKR itu mestilah diyakini benar-benar mampu mencabar perdana menteri.

"Pada masa ini, kalau hasrat Ezam nak lawan Najib, dia kena jadi orang yang paling kuat pukul Najib sampai Najib tempang. Kemudian saya rasa ttak ada masalah untuk orang itu melawan Najib atau parti mana pun.

"Saya alu-alukan kalau ada orang yang (mampu) pukul Najib sampai Najib tempang, sampai dia goyang di Pekan. Itu tak perlu menunggu keputusan parti mana yang bertanding di situ," katanya lagi.

Pentas mana tak kisah

Kelmarin, Ezam menyatakan niatnya menubuhkan parti baru dengan matlamat tunggal iaitu melawan rasuah, dengan menyasarkan Kementerian Kewangan yang disifatkannya sebagai "lubuk kejahatan".

Untuk rekod sebelum meninggalkan Umno buat kali kedua, Ezam pernah dilantik sebagai pengarah komunikasi di kementerian berkenaan. Najib adalah menteri kewangan pertama ketika ini.

Ezam juga menyatakan niatnya untuk berdepan dengan Najib di mana saja anak bekas perdana menteri itu bertanding.

Najib mewakili parlimen Pekan sejak 1976 apabila menang tanpa bertanding dalam pilihan raya kecil di situ ekoran kematian bapanya, Tun Abdul Razak Hussein. Beliau juga bertanding di peringkat negeri dan dilantik sebagai menteri besar Pahang antara 1982 hingga 1986.

Kata Rafizi, pada pandangannya isu mengenai pembahagian kerusi antara parti pembangkang sebaiknya dibincangkan secara tertutup antara pemimpin parti.

"Siapa calon terbaik untuk melawan Najib, itu ialah keputusan bersama pakatan pembangkang, bukan keputusan saya atau sesiapa," katanya.

Mengenai Ezam, Rafizi berkata, tidak salah untuk tokoh itu mendedahkan segala kepincangan yang dimaksudkan sehingga Najib "goyang".

"Pentas (parti) mana, itu bukan satu isu bagi saya," katanya..


Tiada ulasan: