HALAMAN SANTAI

Rabu, 1 Mac 2017

Raja Salman berlepas ke Indonesia selepas akhiri lawatan negara ke M’sia

 Bernama

Malaysia merupakan negara pertama lawatan baginda ke Asia Tenggara sejak menaiki takhta pada 2015

SEPANG: Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud berlepas hari ini menuju Indonesia selepas menamatkan lawatan negara selama empat hari ke Malaysia mulai Ahad lepas.

Menyaksikan baginda berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ialah Perdana Menteri, Najib Razak, Menteri Luar, Anifah Aman dan Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein yang juga Menteri Pengiring semasa lawatan baginda.

Malaysia merupakan negara pertama lawatan baginda ke Asia Tenggara sejak menaiki takhta pada 2015.
Raja Salman membuat lawatan negara selama tiga hari ke Indonesia.

Raja Salman diberi sambutan negara pada Ahad di Dataran Parlimen untuk memulakan lawatan negara serta mempunyai jadual padat sepanjang lawatan empat hari baginda.

Pada Ahad, baginda turut menghadiri majlis santapan negara di Istana Negara yang diraikan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Baginda turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Malaya dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Sains Politik (Islam dan Wassatiyyah) serta Anugerah Pencapaian Cemerlang Seumur Hidup oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Lawatan Raja Salman juga menyaksikan beberapa perjanjian persefahaman ditandatangani termasuk Perjanjian Pembelian Saham bernilai RM31 bilion antara Saudi Aramco dan Petronas.

Di KLIA, baginda dan Najib berjabat salam dan berpeluk-pelukan sebelum baginda yang merupakan Penjaga Dua Masjid Suci menaiki pesawat khas baginda.

Kunjungan sulung Raja Salman ke Malaysia adalah atas jemputan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Tiada ulasan: