HALAMAN SANTAI

Rabu, 8 Mac 2017

Rakyat Malaysia di Korea Utara tidak dikurung – Najib

Muhamad Izwan Mohd Zubit
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diserbu wartawan bagi mendapatkan komen berhubung perkembangan terkini hubungan diplomatik diantara Malaysia dan Korea Utara sebaik keluar dari Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia. foto SAFWAN MANSOR,
 
KUALA LUMPUR – Semua rakyat Malaysia yang berada di Korea Utara tidak dikurung dan bebas menjalankan aktiviti harian mereka seperti biasa walaupun pihak berkuasanya melarang mereka meninggalkan negara itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib menjelaskan, kerajaan sudah menghubungi rakyat Malaysia yang berada di Korea Utara untuk memastikan keselamatan mereka terjamin sepanjang rundingan antara kedua-dua negara berjalan.

“Kita utamakan keselamatan rakyat Malaysia di Korea Utara, kita ambil maklum bahawa mereka dibenarkan untuk menjalankan kehidupan seperti biasa, mereka tidak dikurung mereka boleh keluar, mereka boleh berurusan seperti biasa dan jadi tidak ada kebimbangan atas kselamatan mereka.

“Kedua kita tengah teliti apa sebenarnya kehendak kerajaan Korea Utara, jadi ini yang kita nak pastikan,” kata Najib semasa ditemui media di lobi Parlimen pagi ini.

Buat masa ini, Najib juga menegaskan Malaysia mengekalkan keputusan untuk tidak membenarkan rakyat Korea Utara yang berada sini daripada meninggalkan negara.

“Dalam pada itu, kita kekalkan keputusan kita tidak benarkan rakyat Kkorea Utara keluar dari Malaysia,” ujarnya.

Najib juga meminta pihak polis meneruskan siasatan dan mengenalpasti pihak yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan Kim Jong-nam.

“Dan kita juga minta pihak polis menjalankan siasatan terhadap punca dan sebab siapa yang bertanggungjawb ke atas pembunuhan mendiang Kim Jong-nam.

“Di samping itu kita menunggu pengesahan identitinya kerana analisa DNA belum lagi selesai. Jadi banyak proses lagi, kita nak dapatkan DNA itu pun susah sebab tidak ada orang tampil ke hadapan, barangkali dia takut tampil,” katanya.

Menurut Najib lagi, rakyat Malaysia juga tidak digalakkan untuk mengunjungi negara itu pada ketika hubungan yang dilihat agak tegang ketika ini.

“Kita menasihati mereka untuk pergi ke Korea Utara buat masa ini,” katanya.

Ditanya sama ada Kedutaan Malaysia di Korea Utara akan ditutup, Najib berkata, kerajaan masih memerlukan saluran rasmi untuk berhubungan dengan Korea Utara bagi menyelesaikan pertikaian yang timbul dan menafikan Malaysia cuba mencari gaduh dengan negara itu.

“Kita tidak akan tutup Kedutaan. Kita antara negara yang agak rapat dengan mereka dan kita tak pernah mencari gaduh dengan mereka itu bukan tujuan kita.

“Tapi bila jenayah berlaku terutamanya senjata kimia digunakan di Malaysia, jadi ia tanggungjawab kita untuk menjaga kepentingan semua rakyat Malaysia,” kata Najib lagi.

Pada 13 Februari dunia dikejutkan pembunuhan Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi negara itu Kim Jong-un selepas dua wanita menghampirinya dan menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang telah disembur dengan cecair beracun di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2).

Beliau datang ke Malaysia pada 6 Februari dan menggunakan pasport yang tertera nama Kim Chol. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: