HALAMAN SANTAI

Selasa, 14 Mac 2017

Rakyat Malaysia makan 25kg gula setahun, kata menteri

 
Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, harga gula naik 11 sen sejak 1 Mac lalu berpunca daripada peningkatan harga gula mentah serta kemerosotan nilai ringgit.


hamzah-gula


KUALA LUMPUR: Setiap rakyat Malaysia purata memakan 25kg gula setahun, kata menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Ini merupakan jumlah yang besar. Kalau kita dapat kurangkan kepada kira-kira 9kg setahun bagi setiap individu seperti dicadangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), (kenaikan harga gula) tidak akan beri kesan yang besar,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BN–Sabak Bernam) berhubung kesan kenaikan harga gula sebanyak baru-baru ini kepada pengguna dan industri makanan serta minuman.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengesahkan harga runcit gula dinaikkan daripada RM2.84 kepada RM2.95 1kg sejak 1 Mac lalu.

Hamzah berkata, kenaikan sebanyak 11 sen itu berada pada kadar “minimum”.

“Kenaikan pada kadar 3.8% sahaja berbanding harga sebelumnya. Maka, ia tidak memberi banyak kesan secara keseluruhan kepada makanan yang menggunakan gula.”

Katanya, kenaikan itu berpunca daripada kenaikan harga gula mentah serta kemerosotan nilai ringgit.
“Pada 2013, harga (gula mentah) adalah AS$0.15 bagi 1 paun dan ketika itu nilai tukaran adalah RM3.20 bagi setiap AS$1.

“Harga itu naik kepada AS$0.21 bagi 1 paun dengan tukaran RM4.46 bagi setiap AS$1. Mengikut kiraan kita, kenaikan ini pada kadar 100%,” katanya sambil menjelaskan kerajaan mengimport sepenuhnya gula mentah bagi memenuhi keperluan domestik.

Tiada ulasan: