HALAMAN SANTAI

Rabu, 15 Mac 2017

'Rosmah lulusan sarjana sosiologi layak terajui PERMATA'

MALAYSIAKINI


Datuk Rizal Mansor hari ini membidas kenyataan ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin yang mendesak isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor meletakkan jawatan sebagai penaung Program Permata Negara (PERMATA).

Menurut pegawai khas kepada Rosmah itu, kenyataan Yeo bersifat dangkal dan bercakap tanpa menggunakan akal kerana tidak mengkaji terlebih dahulu latar belakang pendidikan Rosmah yang melayakkannya menerajui PERMATA.

"Kenyataan yang dikeluarkan wakil rakyat DAP yang menganggap Datin Seri Rosmah tiada kelayakan menerajui PERMATA sebagai bercakap ikut sedap mulut sahaja tanpa guna akal.

"Latar belakang pendidikan isteri PM (perdana menteri) itu sememangnya melayakkan beliau menerajui program pendidikan awal kanak-kanak itu.

"Untuk pengetahuan YB (Yang Berhormat) yang boleh dianggap malas untuk membuat 'research' sebelum bercakap, Datin Seri Rosmah adalah lulusan Sarjana Muda Pengajian Sosiologi dan Antropologi dan juga pemegang Sarjana Bidang Sosiologi.

"Pastinya kepakaran beliau dalam bidang sosiologi itu sudah menggambarkan kemampuan Datin Seri Rosmah untuk membawa PERMATA ke arah kecemerlangan," kata Rizal dalam satu kenyataannya.

Susualan itu, Rizal turut mempersoalkan pelantikan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sebagai pengerusi eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang sedangkan beliau bukan seorang pakar air.

Yeo hari ini meminta Rosmah berhenti menjadi penaung PERMATA jika tidak mampu berdepan pemantauan awam serta dilihat berlagak sebagai mangsa dalam isu “pengurusan agensi kerajaan dan wang pembayar cukai”.

Sehubungan itu, Rizal menyarankan agar Yeo mendaftarkan diri dalam kelas PERMATA agar lebih memahami serba sedikit mengenai istilah penaung dalam sesebuah organisasi.

"Wakil rakyat itu mesti kena lebih banyak membaca agar tidak jadi pemimpin yang cetek ilmu. Wahai pemimpin DAP, untuk pengetahuan am kamu, penaung dalam sesuatu organisasi tidak mempunyai sebarang kuasa eksekutif atau pembuat keputusan.

"PERMATA adalah sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang mempunyai peraturan dan syarat ketat untuk sebarang urusan keluar masuk peruntukan.

"Jadi kalau kamu nak tuduh Datin Seri Rosmah mempergunakan peruntukan PERMATA untuk kegunaan peribadi, kamu silap dan kesilapan itu disebabkan sifat tidak cerdik kamu," katanya.

Justeru, Rizal menyifatkan Yeo sebagai pemimpin yang berfikiran kolot kerana tidak mahu melihat golongan kanak-kanak di negara ini mendapat pendidikan awal yang terbaik.

"Kita sudah bawa YB melawat pusat PERMATA Negara. Kita sudah bagi penerangan panjang lebar. Tapi mungkin YB jenis susah nak faham atau saja-saja buat tak faham." katanya.


Tiada ulasan: