HALAMAN SANTAI

Ahad, 5 Mac 2017

Rukun Negara jadi mangsa politik celaru – Dr. Rais

Manzaidi Mohd Amin
 
Rais Yatim bercakap pada Sidang Meja Bulat PERKASA di Menara Arina Uniti, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL,
 
KUALA LUMPUR – Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim tidak terkejut kalau hanya 100 orang menandatangani cadangan Rukun Negara dijadikan mukadimah dalam Perlembagaan Negara.

Ini kerana katanya, pemahaman orang ramai terhadap perlembagaan sedia ada pun tidak diterjemahkan sepenuhnya, inikan pula hendak menambah Rukun Negara sebagai mukadimah.

“Saya harap Perkasa (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia) tidak usah risau dengan sambutan yang kurang memuaskan itu. Sebanyak 100 tanda tangan yang bersetuju dengan cadangan itu pun sudah banyak.

“Tambahan pula Rukun Negara itu sendiri berada dalam keadaan terumbang ambing disebabkan keadaan politik yang mencelarukan sekarang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai ahli panel Sidang Meja Bulat Perkasa – Isu: Rukun Negara Mukadimah Perlembagaan Negara anjuran Biro Hal Ehwal Undang-Undang, Perlembagaan, Tanah Rizab Melayu dan Tanah Adat Perkasa di D’Arina Sky View, Kampung Baru di sini, hari ini.

Dr. Rais berkata, beliau tidak yakin rakyat Malaysia menghayati Rukun Negara berdasarkan pemerhatian dengan sikap pengotor.

“Tandas kita masih kotor, waima bilik air di Masjid Kampung Baru pun tidak terurus. Begitu juga dengan kegagalan usaha kerajaan hendak menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

“Semuanya tidak diterjemahkan atau tidak diamalkan oleh kerajaan mahupun rakyat,” katanya.

Beliau bagaimanapun, mencadangkan agar Rukun Negara dijadikan akta bagi membolehkan kandungannya diamalkan oleh setiap rakyat termasuk kerajaan.

Ujar beliau, dengan adanya akta, ia akan lebih mantap termasuk dapat memberikan tanggungjawab kepada raja-raja Melayu untuk lebih mengambil berat berhubung Rukun Negara.

Dr. Rais juga mahu Kementerian Pendidikan bertanggungjawab penuh menterjemahkan Rukun Negara ini dalam bentuk asuhan budi.

“Kita jangan meniru rukun negara, adat atau sosio-budaya orang lain. Kita ada Rukun Negara yang harus dijadikan piagam,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: