HALAMAN SANTAI

Khamis, 16 Mac 2017

RUU 355: Ahli Parlimen Islam setuju, tapi terpaksa ikut telunjuk DAP - Annuar Musa

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Kebanyakan ahli Parlimen Islam pembangkang secara individunya menyokong usul untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355, namun terpaksa mengubah nada berikutan perlu akur pada telunjuk DAP.
 
Itu pandangan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa selepas ditanya penafian yang dibuat Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau tidak menyokong usul tersebut.
 
Penafian itu dibuat selepas Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyokong usul itu.  
 
"Sebab itu kita dengar hatta bekas pemimpin PAS yang hampir separuh hayat mereka berjuang tentang perkara sebegini, bila bertukar parti dan menjadi rakan kepada pakatan pembangkang, kita lihat nada mereka telah berubah. 
 
"Walaupun menyentuh soal agama, itu bezanya antara kita dengan mereka. Kita bila pasal soal agama, kita mengubah pendirian parti dengan dahulukan agama. Tapi mereka dahulukan parti, soal agama letak belakang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
 
Ketua Penerangan Umno itu berkata, sikap pemimpin pembangkang yang terlalu 'mengikut telunjuk' DAP itu, membezakan permuafakan antara Umno-Barisan Nasional (BN) dengan gagasan tersebut.
 
Turut senada dengan Annuar, Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin.
 
"Kita lihat Tan Sri Muhyiddin ni lebih kepada Islam, jiwanya lebih kepada Islam. Tapi bila dia menolak RUU355, bermakna dia mengikut telunjuk DAP. Jadi jelaslah kepada kita sekarang ini bahawa siapa-siapa parti pro pembangkang, adalah mengikut telunjuk DAP di mana DAP jadi ketua. Walau jiwa sokong RUU ni tapi kerana arahan DAP mereka terpaksa ikut. 
 
"Rakyat perlu lihat, kalau sokong pembangkang makna kita sokong DAP. Tak kira PKR atau Bersatu (PPBM), ketuanya DAP," kata beliau.
 
Sementara itu ahli Parlimen Santubong, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata penafian Muhyiddin dilakukan akibat tekanan daripada politik persekitaran.
 
"DAP, Tun M atau Tan Sri Muhyiddin, saya tak nilai pendirian mereka. Kalau bertukar mungkin ada terpengaruh dengan politik persekitarannya. Politik ni semunya mungkin. ," kata beliau
 
 

Tiada ulasan: