HALAMAN SANTAI

Khamis, 16 Mac 2017

RUU 355: Ahli Parlimen Sarawak akur keputusan Ketua Menteri

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) Sarawak akan akur kepada keputusan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg berhubung sokongan terhadap Rang Undang-undang bagi menperkasakan Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.
 
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sehingga kini belum ada keputusan mengenai perkara itu walaupun semua Ahli Parlimen negeri itu telah mengadakan pertemuan dengan Amar.
 
"Ketua Menteri belum memutuskannya, jadi tunggu keputusan daripada BN (Sarawak). Pendirian kita berdasarkan pendirian kerajaan Sarawak.
 
"Kalau Sarawak buat pendirian untuk tidak sokong oleh itu Ahli Parlimen Sarawak tidak sokong. Kalau pemimpin BN Sarawak kata tak sokong, kita tidak sokong. Kalau pemimpin BN Sarawak kata sokong, kita sokong," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen sebentar tadi.
 
Ahli Parlimen Santubong itu berkata demikian ketika ditanya mengenai hasil perbincangan daripada pertemuan antara ahli Parlimen Sarawak dengan Abang Johari beberapa hari lalu. 
 
RUU 355 dijangka dibawa ke Dewan Rakyat pada sidang kali ini dan ini merupakan kali ketiga ia dibawa selepas melalui dua kali penangguhan sebelum ini.
 
Pada 24 November lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang meminta proses huraian bagi cadangan pindaan RUU itu ditangguhkan sehingga sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang dengan alasan bagi mengelakkan kekeliruan.
 
Pindaan Akta 355 bertujuan untuk memperkasakan Mahkamah Syariah bagi meningkatkan hukuman maksimum kepada 30 tahun penjara, denda sehingga RM100,000 dan 100 kali sebatan.
 
Hukuman Mahkamah syariah pada ketika ini hanya terhad kepada tiga tahun penjara, enam sebatan dan denda RM5,000. 


Tiada ulasan: