HALAMAN SANTAI

Ahad, 5 Mac 2017

Sikap cabar-mencabar tak selesai masalah, kata Syed Ali

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad AzharPost Pic
SHAH ALAM: Setiap pemimpin politik perlu menghentikan amalan mencabar antara satu sama lain kerana ia tidak akan menguntungkan sesiapa, demikian menurut Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.
 
Beliau berkata demikian mengulas tindakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang saling mencabar untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
"Isu cabar-mencabar untuk menguji kekuatan individu tertentu pada pilihan raya bukan penyelesaian terbaik kepada permasalahan yang berlaku. 
 
"Isu cabar-mencabar itu sebenarnya dilihat hanya bersifat dendam peribadi yang tidak memberi manfaat kepada parti yang diwakili dan rakyat keseluruhannya," katanya kepada Antarapos.
 
Semalam Nazri mencabar Dr Mahathir untuk bertanding di Padang Rengas, selepas mantan perdana menteri itu dimaklumkan akan turun ke parlimen tersebut pada hujung bulan ini bagi menyertai siri jelajah parti.
 
Dr Mahathir, yang ditemui malam tadi di ceramah perdana Pakatan Harapan (PH) di Bangi kemudiannya turut melontarkan cabaran yang sama terhadap Nazri, namun di Parlimen Langkawi.
 
Ujarnya sebagai seorang menteri, Nazri tidak perlu gentar untuk bertanding di mana-mana kawasan sekalipun.
 
Untuk rekod Nazri menjadi ahli parlimen Padang Rengas sejak 2004.
 
Syed Ali kemudiannya menambah baik Dr Mahathir atau Nazri, kedua-dua pemimpin berkenaan tidak perlu mengambil sikap sedemikian.
 
"Pada hemat saya tidak wajar Dr Mahathir mencabar Nazri bertanding di Langkawi dan begitu juga Nazri untuk mencabar dr Mahathir di Padang Rengas.
 
"Masing-masing ada tanggungjawab dan memikul amanah kepada pengundi yang mereka wakili," ujar Syed Ali lagi
 
 

Tiada ulasan: